Naib Canselor UMK, Datuk Dr. Husaini Omar berkata, projek baik pulih yang dilaksanakan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) universiti itu menggunakan peruntukan RM100,000 daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau berkata, program kali pertama sebelum ini dilaksanakan di Kampung Baung di Pengkalan Chepa pada Disember lalu juga membabitkan 20 buah rumah penduduk asnaf.

“Lebih 100 pelajar UMK menjadi sukarelawan dalam program ini dan mereka membantu tukang rumah menyiapkan kerja-kerja baik pulih.

“Kita jangka semua kerja akan selesai dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi dan berharap penduduk yang tinggal dalam keadaan tidak selesa sebelum ini dapat menikmati hidup lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas perasmian program di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Husain; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Datuk Dr. Ibrahim Omar dan Pengarah UCTC UMK, Prof. Madya Dr. Mohad Anizu Mohd. Nor.

Sementara itu, Husaini berkata, pihaknya menyasarkan melaksanakan program serupa di jajahan lain pada tahun ini antaranya Jeli dan Gua Musang.

“Program ini bukan setakat membantu penduduk bahkan memupuk nilai keusahawanan pelajar yang turut terlibat dalam pencarian bahan yang diperlukan untuk membaiki setiap rumah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang tukang sapu, Norizan Hussein, 49, yang juga ibu tunggal gembira apabila hasratnya memasang atap baharu khususnya di bahagian belakang rumah tercapai.