uitm-2

Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani di antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Texas At Arlington (UTA) USA..

Majlis menandatangani MoU ini dihadiri oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Mohd Azraai Kassim, Provost UTA, Prof. Teik C. Lim, dan Dekan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), Prof. Dr. Jamalunlaili Abdullah.

UiTM turut diwakili oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri FSPU, Prof. Datin Dr. Hamimah Adnan, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa, (OIA), Dr. Hajah Zainab Mohd Noor dan Koordinator ICTD OIA, Dr. Siti Aekbal Salleh.

Kronologi yang membawa kepada MoU ini adalah bermula dengan lawatan pertama daripada Howard Chang dari ASIA UTA ke AAGBS (Fakulti Perniagaan Siswazah Arshad Ayub) UiTM pada Ogos 2018 membincangkan potensi program-program kerjasama di antara kedua-dua buah universiti ini. Lawatan kedua kemudiannya diteruskan pada November 2018 oleh Lin Larson dan Sebastian Fuentes dari UTA ke UiTM bersama wakil fakulti-fakulti kejuruteraan yang terlibat untuk membincangkan program pertukaran pelajar dan staf di samping kolaborasi penyelidikan yang berkaitan.

Perjumpaan kali kedua ini juga dihadiri Alumni UTA, termasuk Haji Khalid dari FSPU, UiTM. Lawatan ketiga seterusnya adalah pada Januari 2019 daripada Naib Provost Hal Ehwal Antarabangsa UTA, Dr. Curtis Andressen bagi proses mendraf MoU untuk kolaborasi dan lawatan bagi siri-siri syarahan oleh Profesor dari UTA ke UiTM. Bidang-bidang terlibat yang telah dikenalpasti adalah Senibina dan Alam Bina, Kejuruteraan, Muzik dan juga Pengurusan Perniagaan.

Rentetan daripada lawatan-lawatan terdahulu, beberapa aktiviti telah dijalankan pada bulan Mac dan April 2019 termasuk Majlis Makan Malam Alumni UTA dan mesyuarat, mesyuarat kolaborasi di antara UTA dan Fakulti Muzik UiTM, mesyuarat siri syarahan oleh Profesor dari UTA di Fakulti Kejuruteraan UiTM, dan mesyuarat delegasi UTA bersama AAGBS UiTM.

Seterusnya pada Mac lalu, draf MoU UiTM-UTA dibawa kepada Pejabat Undang-undang UiTM untuk nasihat dan memohon kelulusan bagi proses seterusnya.

Dengan kelulusan daripada pihak undang-undang UiTM dan proses persetujuan akhir daripada pihak UTA, kunjungan bagi proses menandatangani MoU ditetapkan pada bulan Mei 2019. Dengan kerjasama MoU ini, kedua-dua uiversiti berharap ianya dapat mengeratkan lagi jalinan kerjasama untuk pembangunan akademik institusi pengajian tinggi di kedua-dua buah negara.