Rektor UiTM cawangan Kelantan, Prof. Madya. Dr. Zulkifli Mohamed berkata, kerjasama ini adalah kesinambungan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai kedua-dua pihak pada tahun 2015.

Menurutnya, MoU selama dua tahun itu bagaimanapun berakhir pada tahun 2017.

“Hubungan yang telah berakhir ini akan diperbaharui dengan kedua-dua universiti menandatangani MoA baharu.

“Menerusi jalinan kerjasama ini, beberapa aktiviti telah dipersetujui untuk dilaksanakan termasuk menganjurkan sebuah program dipanggil Simposium Bersama,” katanya ketika majlis Menandatangani MoA tersebut di sini hari ini.

Zulkifli berkata, antara pengisian Simposium Bersama ialah program pertukaran pensyarah dan pelajar bagi berkongsi ilmu serta pendedahan kepada persekitaran yang baharu dengan budaya yang berbeza.

Sementara itu, Rektor Unswagati, Dr. H. Mukarto Siswoyo berkata, banyak manfaat yang akan diperoleh daripada jalinan kerjasama ini terutamanya untuk membangunkan universiti masing-masing.

“Tidak ada beza antara Malaysia dan Indonesia kerana kita adalah satu darah.

“Bagi saya kerjasama ini sangat baik dan wajar diteruskan dalam usaha untuk bersama-sama memajukan bidang pendidikan,” katanya. - UTUSAN ONLINE