Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah IRM, Prof. Dr. Azni Idris, menekankan bahawa IRM sebagai badan kemanusiaan akan sentiasa menjadi jambatan penghubung antara penyumbang, sukarelawan, rakan kerjasama dan pelbagai pihak lagi dengan penerima manfaat.

“IRM menyediakan pelbagai platform antaranya bidang kesukarelawanan yang lebih sinonim dalam kalangan mahasiswa untuk dijadikan kerjaya pada masa hadapan.

“Mereka akan didedahkan dengan pelbagai kisah realiti kehidupan masyarakat dan pengalaman berharga agar mereka dapat mendalami dan memahami makna kemanusiaan yang sebenar,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani

Memorandum Perjanjian Persefahaman antara IRM dan UiTM di sini hari ini.

UiTM diwakili Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dr. Ir. Mohd. Azraai Kassim manakala IRM diwakili Azni.

Mohd. Azraai ketika ditemui di sini berkata, pihaknya percaya bahawa nilai-nilai kemanusiaan adalah merupakan satu sifat yang amat penting untuk ditanam dalam diri seseorang mahasiswa yang holistik.

Katanya lagi, nilai sedemikian akan membantu untuk melahirkan seorang insan yang bukan sahaja merupakan seorang ahli intelek tetapi juga mempunyai jiwa nurani yang tinggi.

“Oleh yang demikian UiTM amat menggalakkan penglibatan semua pelajar dalam aktiviti bersifat kemanusiaan ini.Tenaga kerja serta ahli kepada sebuah masyarakat yang bertamadun perlulah seimbang dari segi minda dan jiwa mereka.

“Menerusi kerjasama ini, diharapkan ia dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak dalam melahirkan graduan yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik bahkan juga sahsiah, sekaligus mewujudkan dunia yang prihatin selari dengan visi IRM,”katanya.

Beliau menambah, pihaknya melihat kerjasama tersebut sebagai satu wadah untuk UiTM membuka lebih ruang dan peluang untuk melahirkan warga akademik dan bukan akademik mahupun mahasiswa mahasiswi yang mempunyai keseimbangan dari segi intelek dan kepekaan terhadap diri dan persekitaran.

Jelasnya lagi, perkara tersebut amat perlu dititikberatkan memandangkan suasana era Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 yang akan dipacu oleh teknologi canggih yang dijangka akan mengurangkan interaksi manusia dengan manusia. - UTUSAN ONLINE