Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hal itu kerana UMNO adalah parti yang sangat menghormati dan memahami keperluan sekolah vernakular dalam negara dan berpendirian sekolah jenis itu perlu terus wujud.

“Ini adalah pendirian konsisten dan tegas UMNO serta BN yang selari dengan keperluan negara. Kita sentiasa komited dalam mengiktiraf kepelbagaian bangsa dan etnik termasuk hak untuk beragama serta mendapat pendidikan selayaknya.

“Apapun, Mohamed Nazri telah mengambil tanggungjawab untuk membuat penjelasan berkenaan maksud sebenar ucapannya semasa melawat Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tempoh hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Mohamed Nazri menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya menggunakan sentimen perkauman dalam satu ceramah pada kempen PRK DUN Semenyih Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, komitmen serta pendirian BN berhubung sekolah vernakular dapat dilihat dengan jelas dalam pentadbiran kerajaan terdahulu sama ada dalam bentuk infrastruktur, pengiktirafan dan pemberian peruntukan yang diperlukan.

Beliau berharap isu kenyataan Mohamed Nazri tidak dipolitikkan secara tidak bertanggungjawab oleh mana-mana pihak terutamanya dengan cara yang tidak menggambarkan pendirian sebenar UMNO dan BN. - UTUSAN ONLINE