Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu termasuk melaksanakan proses menambah baik makmal sains di sekolah serta melengkapkannya dengan perkakasan pembelajaran sains.

Beliau berkata, selepas makmal itu dipertingkatkan, kementerian akan mencadangkan agar pelajar tingkatan empat melakukan tugasan sains mereka secara praktikal di makmal pada masa depan.

“Kementerian sedar betapa kurangnya pelajar aliran Sains dan hakikat itu boleh dilihat pada bilangan calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016.

“Menerusi inisiatif mempertingkatkan makmal sains ini, kita berharap lebih ramai pelajar menceburi aliran Sains, sekali gus membantu dalam melonjakkan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Penyampaian Anugerah Sekolah Terbaik dan Pelajar Terbaik STPM 2016, di sini hari ini.

STPM 2016 menyaksikan hanya 6,202 calon merupakan pelajar aliran Sains Tulen berbanding 37,033 calon yang mengikuti ali­ran Sains Sosial.

Dalam pada itu, Mahdzir ber­kata, kementerian amat berbang­ga dengan pencapaian calon-calon STPM 2016 pada tahun ini sehingga memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 iaitu peningkatan sebanyak 0.51 peratus berban­ding 335 calon pada 2015.

Katanya, kecemerlangan itu mencerminkan peningkatan kua­liti tingkatan enam terutama dari segi pembelajaran dan pemberian tugasan kepada pelajar.