Bukan sahaja kepada peminjam, PTPTN turut menyediakan tawaran menarik buat pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i dan SSPN-i Plus) dalam usaha agensi itu untuk terus menggalakan amalan menabung demi pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd. Khalid berkata, antara tawaran terbaik yang disediakan kepada pendeposit SSPN adalah pemberian simpanan percuma sebanyak RM500 kepada pendeposit baharu yang memulakan tabungan atau pendeposit sedia ada di SSPN tahun ini.

Kata beliau, tawaran ini bertujuan memberikan motivasi kepada ibu bapa untuk memulakan sikap menabung secara konsisten buat pendidikan anak-anak.

“Insentif ini diberikan dalam tahun ini, jadi ibu bapa ada pilihan. Bukan perlu buat simpanan sekali gus sebanyak RM500, tapi mereka boleh buat potongan gaji sebanyak RM50 sebulan dan pada bulan ke-10 apabila simpanan cukup RM500, mereka akan dapat simpanan percuma RM500.

“Tapi jika mereka belum membuat sebarang simpanan sehingga bulan Disember ini, mereka perlulah membuat simpanan sebanyak RM500 secara sekali gus,” katanya ketika diwawancara Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, pendeposit SSPN-i turut diberikan perlindungan takaful percuma ringgit ke ringgit yang bermaksud manfaat takaful akan diberikan mengikut jumlah simpanan mereka selain bantuan khairat kematian.

“Apa yang diharapkan PTPTN, apabila ibu bapa membuka akaun untuk mendapat simpanan percuma ini, teruskanlah menyimpan secara konsisten sehingga anak berusia 18 tahun,” katanya.

Cabutan WOW! 
SSPN-i Plus*

Sebagai pelan simpanan terbaik, pendeposit SSPN-i Plus juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan kepada lebih 4,000 pemenang melalui promosi Cabutan WOW! SSPN-i Plus.

Menurut Mastura, pendeposit berpeluang menyertai tiga kategori cabutan, iaitu Cabutan WOW! Bulanan, Cabutan WOW! Sukuan dan Cabutan WOW! Tahunan.

“Hadiahnya cukup menarik. Cabutan bulanan kita menawarkan pakej pelancongan dalam negara (satu hadiah utama) dan selebihnya adalah hadiah percutian ke taman tema dalam negara (30 hadiah saguhati).

“Untuk cabutan sukuan, kita tawarkan satu hadiah sahaja (setiap sukuan) iaitu pakej umrah atau boleh juga memilih percutian ke Disneyland, Jepun,” jelasnya.

Hadiah terbaik tentunya untuk cabutan tahunan yang mana PTPTN menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 kepada seorang pemenang.

“Inilah peluang yang berganda kepada pendeposit,” katanya.

Simpanan untuk 
masa hadapan

Peribahasa Melayu ada menyebut: asal ditugal, adalah benih. Ia bermaksud sesuatu usaha pasti akan membuahkan hasil pada masa hadapan.

Begitu juga dengan amalan menabung yang mahu dijadikan budaya dalam kalangan rakyat Malaysia oleh PTPTN.

Mastura menjelaskan, jika lebih ramai ibu bapa yang membuka simpanan dengan SSPN, ia bukan sahaja menjamin masa hadapan anak-anak malah membantu PTPTN meneruskan fungsi murninya menyediakan pinjaman pendidikan.

Kata beliau, setiap tahun PTPTN memerlukan dana dari RM3 bilion hingga RM3.5 bilion untuk menampung permintaan pinjaman, maka jika lebih ramai yang sudah mula menabung sejak kecil ia pasti dapat mengurangkan beban agensi itu kelak.

Jelas beliau lagi, sepanjang 14 tahun penubuhan SSPN, skim itu sudah menerima deposit sebanyak RM4 bilion melalui 3.7 juta akaun yang dibuka.

“Mungkin masyarakat melihat RM4 bilion satu angka yang besar, tapi jika dibandingkan dengan tempoh 14 tahun dan jumlah penduduk Malaysia, jumlah itu sebenarnya sangat kecil sekali,” katanya.

Cabutan WOW SSPN-i Plus (Bulanan)

  • Tempoh: Mac-Dis 2018
  • Hadiah Utama: Pakej Percutian dalam Negara bernilai RM4,000 + RM1,500 - Satu pemenang
  • Saguhati: Pakej Percutian Keluarga ke Tanam Tema dalam Negara bernilai RM1,500 + RM500 - 30 pemenang

Cabutan WOW SSPN-i Plus (Sukuan)

  • Tempoh: Jan - Mac 2018, April - Jun 2018, Julai - Sept 2018, Okt - Dis 2018
  • Hadiah Utama: Pakej Percutian Keluarga ke Disneyland, Jepun atau Umrah bernilai RM23,000 + RM3,000 - Satu pemenang setiap sukuan

Cabutan WOW SSPN-i Plus (Tahunan)

  • Tempoh : Jan - Dis 2018
  • Pertama: RM100,000 - satu pemenang
  • Kedua: RM50,000 - duapemenang
  • Ketiga: RM10,000 - tiga pemenang
  • Saguhati: RM200 - 4,000 pemenang