Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan kewangan dikenali sebagai Biasiswa Terengganu Sejahtera yang julung kali diperkenalkan itu membabitkan nilai RM11,045 sepanjang pengajian meliputi yuran dan penginapan kolej kediaman.

Katanya, 100 pelajar terawal yang layak turut ditawarkan elaun sara hidup sebanyak RM323 sebulan.

“Kita menyediakan biasiswa sepenuhnya dengan fokus kepada anak negeri jadi mereka boleh mengikuti pengajian secara percuma dibiayai oleh kerajaan negeri.

“Kita minta rakyat negeri yang mempunyai pelbagai kecenderungan sama ada untuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta dalam masa sama dapat memilih TATIUC untuk kursus-kursus teknikal kerana di sini ada disediakan keperluan untuk mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan replika cek kepada Rektor TATIUC, Prof. Dr. Anuar Ahmad di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Menurut Ahmad Samsuri, penyediaan biasiswa itu diharap dapat memberi rangsangan untuk anak negeri melanjutkan pengajian ke TATIUC sekali gus menyeru kalangan mereka memanfaatkan peluang yang ada sebelum kemasukan pada Mei dan September nanti.

TATIUC menyediakan 1,100 tempat bagi kemasukan pelajar baharu untuk sesi pengajian 2019/2020 dengan tiga program di peringkat sarjana di samping 10 program ijazah sarjana muda, diploma (13 program) dan asasi (dua program) membabitkan bidang pembuatan, automasi, elektrikal, ujian tanpa musnah, kimia, polimer, komputer, pengurusan teknologi dan media grafik.

Sementara itu, Anuar berkata, TATIUC turut menyediakan elaun sara hidup sebanyak RM4,800 kepada pelajar diploma sepanjang pengajian bersamaan dengan RM200 sebulan manakala untuk pelajar ijazah sarjana muda menerima keseluruhan RM8,000 (RM250 sebulan).

Katanya, pengurangan yuran pengajian juga ditawarkan kepada yang layak.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung tawaran Biasiswa Terengganu Sejahtera boleh hubungi 09 860 1130 atau layari www.tatiuc.edu.my - UTUSAN ONLINE