Menurut laman web Lembaga Bandaran Kudat, daerah itu berkeluasan kira-kira 1,287 kilometer persegi meliputi Semenanjung Kudat, Pulau Balam­bangan, Pulau Banggi, Pulau Malawai, Matunggong dan beberapa gugusan pulau kecil.

Bandar ini dikatakan ditubuhkan oleh A H Everett daripada syarikat British Borneo Utara pada 7 Disember 1881. Disebabkan lokasinya yang strategik, Kudat menjadi ibu negeri pertama British Borneo Utara.

Penduduk Kudat dianggarkan berjumlah lebih 85,000 orang berdasarkan perangkaan tahun 2010. Bentuk muka bumi berbukit bukau, menjadikannya antara destinasi tarikan pelancongan di Sabah.

Kewujudan la­pangan terbang pelepasan dan pendaratan pendek atau Short Take-Off and Lan­ding (STOLport) kendalian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) banyak membantu pertumbuhan daerah Kudat. STOLport membolehkan daerah ini diakses de­ngan lebih mudah oleh pelancong luar berbanding jalan darat.

Kemudahan ini bukan sahaja memajukan sektor pelancongan tempatan, malah turut memba­ngunkan bidang pendidikan di Kudat.

Perkara ini diakui oleh seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahim 2, Kudat, Abu Bakar Ibrahim, 38, yang telah 14 tahun berkhidmat di daerah ini bagi mendidik anak bangsa.

Menurut Abu Bakar, kewujudan STOLport dapat menjimatkan perjalanannya serta guru-guru luar lain yang dihantar berkhidmat di Kudat.

“Ia menjimatkan banyak masa kerana guru-guru tidak perlu menempuh perjalanan yang jauh menggunakan jalan darat ke sini. Kewujudan STOLport juga boleh menarik minat murid-murid terhadap bidang industri penerba­ngan yang semakin berkembang pesat,” katanya.

Selain itu katanya, peluang pekerjaan baharu juga dapat diwujudkan apabila lapangan terbang berkenaan dinaik taraf, memboleh­kan lebih ramai pelancong asing dan tempatan datang ke Kudat.

Pandangan sama dikongsi oleh seorang lagi warga pendi­dik, Siti Faziedah Ab. Ghani, 29, dari Kelantan, yang telah empat tahun mengajar di Sekolah Kebangsaan Muhibbah, Kudat.

“Ia amat memudahkan kami memandangkan ramai guru dan pekerja sektor awam berasal dari Semenanjung berkhidmat di Kudat. Sudah pasti kami menggunakan perkhidmatan udara untuk pulang ke kampung halaman.

“Begitu juga sekiranya ada kes kecemasan, sudah pasti perkhid­matan udara dari Kudat amat diperlukan,” jelasnya yang berjauhan dengan keluarga demi tugas.

Tambah Siti Faziedah, STOLport Kudat juga sangat membantu untuk proses pembelajaran terutama dalam mendedahkan murid-murid di luar bandar dengan ilmu sains dan teknologi khususnya me­ngenai industri penerba­ngan.

“Pelajar-pelajar di Kudat berpeluang melawat STOLport untuk menambah ilmu pengetahuan dan peluang-peluang kerja dalam industri penerbangan,” katanya.