Dalam majlis tersebut, 21 video telah diumumkan sebagai pemenang utama yang menyaksikan tiga video tersebut dimenangi SMK Sungai Besi manakala tiga daripada 26 video bagi hadiah saguhati diperoleh sekolah itu.

Menurut pelajar sekolah berkenaan, Muhamad Faeiz Roslan, 16, pihak sekolah telah menghantar sebanyak enam penyertaan dan tidak menyangka dipilih sebagai pemenang ha­diah utama serta saguhati.

“Satu daripada video pendek saya bertajuk Tarian Perpaduan Bangsaku dihasilkan secara spontan ketika melihat persembahan tarian pelajar dalam majlis anugerah cemerlang sekolah tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas ber­akhir majlis tersebut.

Dalam pada itu, pemenang hadiah saguhati, Heng Sheng Yao, 17, pula mencuri tumpuan orang ramai apabila sanggup datang ke sini untuk menyertai majlis penyampaian hadiah itu bersama ibunya dengan menaiki bas dari Kota Tinggi, Johor.

Menurut Sheng Yao, dia bersama ibunya bertolak dari Johor pada pukul 12 tengah malam sebelum tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada pukul 6 pagi tadi.

Sementara itu, Pengetua SMK Taman Seraya, Wan Norma Wan Pi melahirkan rasa syukur selepas sekolahnya terpilih sebagai pemenang utama pertan­dingan itu dan berhasrat untuk menghantar lebih banyak lagi penyertaan pada masa akan datang.