Ini merupakan kali pertama SK Serkam Darat menerima murid kembar paling ramai dan untuk itu satu majlis sambutan di mana kesemua mereka diiringi hulubalang berbusana pahlawan Melayu pada sesi pendaftaran diadakan pagi ini.

Empat pasangan kembar itu ialah Muhammad Danial dan Muhammad Danish Azlan; Nurain Amirah dan Nurain Athirah Abdul Malek; Muhammad Nur Airie dan Muhammad Nur Airil Ahmad Redzuan serta Mior Rafieq Hazieq dan Mior Razieq Harith Mohd. Rosdy.

Ketibaan lapan murid itu di sekolah diiringi Persatuan Seni Silat Gerak Tepat Umbai dan Gerbang Melayu Melaka (GBM) diketuai Timbalan Pengerusi GBM, Hisham Jaafar dan lima ahli bersama alat permainan muzik seperti gendang ibu, gendang anak, gong, tetuang dan serunai.

Guru Besar SK Serkam Darat, Abu Hassan Ahmad berkata, sebanyak 97 murid Tahun Satu mendaftar tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan murid di sekolah berkenaan seramai 567 orang.

Katanya, semua pasangan kembar berkenaan ditempatkan dalam kelas yang sama bagi mengelak daripada mengganggu proses pembelajaran mereka.

“Ini kali pertama sekolah ini menerima empat pasangan kembar, sebelum ini hanya satu atau dua pasangan sahaja.

“Kita menjemput pemuzik bagi menceriakan dan memberi motivasi kepada murid sekolah selain memeriahkan suasana sekolah hari pertama,” katanya ketika ditemui pada sesi pendaftaran murid di sekolah itu pagi ini.

Sementara itu, ibu kepada Nurain Amirah dan Nurain Athirah, Zabariah Zainuddin,45, berkata, persiapan membeli barangan sekolah sudah dibuat awal dan dua anaknya itu tidak sabar malah bangun seawal pukul 5 pagi. - UTUSAN ONLINE