Sekiranya dibuat pengiraan di antara peruntukan yang diagih dengan jumlah sekolah mengikut jenis di seluruh negara, jumlah purata peruntukan yang diterima oleh setiap SK dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) adalah sebanyak RM33,258 manakala setiap SJKC memperoleh purata peruntukan sebanyak RM37,764 buah di seluruh negara.

Kesemua jumlah tersebut selepas mengambil kira bilangan SK dan SMK yang dianggarkan berjumlah 7,517 buah dan SJKC yang kesemuanya dianggarkan berjumlah 1,324 buah.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2019 semalam, daripada RM652 juta yang diperuntukkan tersebut, SK bakal menerima RM250 juta manakala SJKC sebanyak RM50 juta.

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, sekiranya kerajaan mempunyai hasrat untuk memperkasa SK, peruntukan yang diterima sekolah tersebut sewajarnya adalah perlu lebih besar.

“Sepatutnya peruntukan itu diberikan jauh lebih banyak kepada sekolah-sekolah kebangsaan mengambil kira sekolah ini me­lalui sistem pendidikan negara jauh lebih lama daripada SJKC dan sekolah mene­ngah persendirian Cina (SMPC).

“Secara kasar memang dilihat peruntukan yang diterima oleh SK adalah jauh lebih banyak tetapi perlu lihat pula ke mana diagihkan iaitu dengan jumlah SK yang lebih banyak berbanding SJKC,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, tambah Mohd. Azizee, pihaknya tidak menjangkakan Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut memberi peruntukan serupa kepada SMPC yang berjumlah RM12 juta.

Menerusi peruntukan itu, SMPC yang dianggarkan terdapat 60 buah di seluruh negara bakal memperoleh kira-kira RM200,000 setiap sekolah untuk tujuan berkenaan.

Seorang peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz pula berkata, SK tidak akan mendapat manfaat yang lebih berbanding SJKC menerusi pembahagian peruntukan menaik taraf dan menyelenggara sekolah tersebut.

“Memang dilihat peruntukan RM250 juta untuk SK adalah besar namun apabila dibahagikan, ia adalah kecil. Walaupun bukan begitu mungkin cara pengagihannya tetapi begitulah anggarannya, jadi di mana pembahagian yang adil seperti yang dikatakan beberapa pihak?” soalnya.