Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Wahid Omar berkata, program itu menghimpunkan 260 delegasi dan 39 wakil jawatankuasa perwakilan pelajar Indonesia yang sedang melanjutkan pengajian di 56 buah negara di seluruh dunia.

Katanya, simposium Antarabangsa Mahasiswa Indonesia yang dianjurkan buat kali ke-11 itu menjadi platform buat pelajar dari negara republik itu mengeratkan silaturahim selain mengadakan perbincangan berkenaan.

“Ini merupakan satu program yang baik yang perlu dicontohi oleh kerajaan bagi menyediakan platform kepada pelajar kita yang sedang menuntut di luar negara berhimpun seperti ini. Saya akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan supaya mencontohi inisiatif pelajar Indonesia yang mengadakan simposium antarabangsa mereka di sini (UTM).

“Menerusi perhimpunan ini, ia menjadi peluang kepada pihak kerajaan memaklumkan tentang perkembangan terbaharu negara (Malaysia) dan yang keduanya dapat memperkasakan pengetahuan dan kemahiran pelajar selari dengan hasrat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir Simposium Antarabangsa Mahasiswa Indonesia 2019 di Dewan Sultan Iskandar UTM, di sini hari ini.


DR. Ismunandar merakam kenangan bersama-sama sebahagian delegasi dan wakil jawatankuasa perwakilan pelajar Indonesia yang sedang melanjutkan pengajian di 56 buah negara seluruh dunia pada Simposium Antarabangsa Mahasiswa Indonesia 2019 di Dewan Sultan Iskandar UTM, Johor Bahru, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Direktor Jenderal Pembelajaran dan Kemahasiswaan, Kementerian Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia, Prof. Dr. Ismunandar.

Simposium yang bertemakan Peranan Belia Terhadap Inovasi akan membincangkan topik-topik berkaitan pembangunan negara dan anak muda seperti kepentingan pendidikan, peranan industri kreatif, sumbangan kerajaan terhadap perkembangan serantau dan kepentingan teknologi dan kelestarian perkembangan tenaga. - UTUSAN ONLINE