Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, kemudahan baharu ini juga ditawarkan untuk kegunaan pejabat pendidikan daerah dan zon me­ngadakan program berbentuk pembelajaran.

“Tawaran ini selaras dengan matlamat menjadikan YPC sebagai pusat sehenti dan tumpu­an pendidikan tidak kira sama ada di tahap pendidikan tinggi mahupun rendah,” katanya ketika ditemui dalam majlis Konvokesyen ke-13 Kolej Antarabangsa YPC di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir Menteri kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa YPC, Datuk Dr. Noel Robert.

Dalam konvokesyen itu, 106 graduan menerima diploma ma­sing-masing dalam pelbagai jurusan dengan empat daripada me­reka dipilih menerima Anugerah Pelajar Terbaik YPC 2017.

Menurut Syed Ali, selain kemudahan Auditorium Tan Sri Syed Abbas Alhabshee, Kolej An­tarabangsa YPC turut menye­diakan pelbagai kemudahan pem­belajaran yang mesra pengguna dan dinamik se­perti dewan kuliah berhawa dingin dilengkapi skrin projektor, perpustakaan yang boleh memuatkan 500 pelajar, makmal komputer, makmal animasi digital dan kemudahan jalur lebar.

Pada masa yang sama, kata beliau, kolej itu satu-satunya kolej swasta di negara ini yang menawarkan program pengajian dan tajaan biasiswa kepada pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara dengan kerjasama Universiti Liverpool John Moores, United Kingdom.

“Pelbagai kemudahan yang diberikan bertujuan memastikan pelajar menikmati manfaat pendidikan yang sewajarnya, tidak kira sama ada pelajar itu datang dari latar belakang keluarga yang berpendapatan rendah atau sederhana, mana-mana pelajar ber­­hak menikmati kemudahan pendidikan yang disediakan ini sewajarnya,” kata beliau.

Untuk rekod, Kolej Antarabangsa YPC merupakan satu-satunya kolej swasta di negara ini yang menawarkan program pengajian dan tajaan biasiswa kepada pelajar melanjutkan pe­ngajian ke luar negara de­ngan kerjasama Universiti Liverpool John Moores, United Kingdom.

Di bawah program itu, pelajar ditawarkan mengikuti pengajian asasi (Foundation Programmes) dalam pengurusan perniagaan, teknologi maklumat, multimedia dan perakaunan.