Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Senator Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, ketika ini dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar kecemerlangan akademik semata-mata belum dapat menjamin kejayaan hidup golongan tersebut terutama ketika mereka melangkah ke alam dewasan kelak.

“Usaha membantu murid sekolah agar berjaya dalam bidang pendidikan terus diperkenal oleh Kementerian Pendidikan namun dalam kalangan ibu bapa dan guru wajar berpandangan jauh ke arah memperelokkan lagi kejayaan setiap murid.

“Itu termasuk memastikan mereka memiliki pegangan agama dan akhlak lebih baik,” katanya.   

Beliau berkata demikian ke­tika merasmikan Majlis As-Syahadan 2017 dihadiri oleh 313 murid sebelum memasuki sekolah menengah tahun depan di Dewan Warisan Permata Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Puteri Jaya di sini, baru-baru ini.

Shahanim kemudian memper­untukkan RM10,000 bagi melaksanakan pelbagai kemudahan lain yang bersesuaian untuk sekolah berkenaan.

Guru besar sekolah itu, Wan Mohd. Saberi Wan Mahmud pula berkata, inilah kali pertama SK Bandar Puteri Jaya melaksanakan program Al-Syahadah selepas sekolah itu dibuka pada 2014.

Sempena majlis itu, Shahanim menyampaikan hadiah kepada Tokoh Sukan, Shahmeer Rosli dan Nur Shahidah Nabilah Norsyahidan; Tokoh Kokurikulum, Nur Qurratulaini Yuszaizi dan  Muhammad Danial Hazique serta Tokoh Murid, Anas Othman dan Nur Asyikin Md. Radzi.