Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desaminium, Roslina Ahmad berkata, aplikasi Tutor Guru bermanfaat dalam aspek persediaan untuk mengajar menerusi pembinaan lembaran kerja digital manakala e-Paper Utusan Malaysia pula menyediakan pelbagai maklumat yang menepati bahan bacaan luas PAK-21.

“Hasilnya, proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) lebih efektif sekali gus dapat menarik minat serta tumpuan murid yang sememangnya cenderung dengan penggunaan gajet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Intervensi Tablet Guru yang dikendalikan Pegawai Pemasaran Utusan Malaysia, Nurul Nadhirah Zainudin di sekolah itu di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Yang turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Petaling Perdana, Laila Omar dan Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin.

Dalam program yang disertai 93 guru itu, mereka diberi bim­­bingan tentang persediaan aktiviti PdPc bagi memenuhi keperluan PAK-21 dengan membina lembaran kerja digital yang mengandungi soalan latihan, sumber rangsangan multimedia dan jawapan serta hurai­an.

Pada akhir program, SMK Taman Desaminium diiktiraf sebagai Sekolah Mentor program penggunaan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.

SMK Taman Desaminium turut menerima akaun percuma untuk mengakses portal pendidikan di www.tutor.com.my.

Mengulas mengenai program intervensi ini, Roslina berkata, kini guru memahami secara jelas bagaimana untuk menggunakan Tablet Guru bagi membantu me­ningkatkan kualiti PdPc masing-masing.

“Tablet ini sangat membantu guru dalam menyediakan rancangan mengajar di mana-mana sahaja pada bila-bila masa selagi ada capaian Internet dengan mudah dan cepat,” katanya.

Sehingga kini, guru di Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Nege­ri Sembilan dan Pe­rak telah mene­rima tablet ini.

Terkini, tablet serupa dalam proses pengagihan kepada guru di Johor dan seterusnya untuk para pendidik di Melaka pada Februari.