Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, 10 sekolah mencatatkan keputusan lulus 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Sekolah tersebut ialah SHG Telok Mas, SHG Keningau, SHG Wanita Kota Kinabalu dan SHG Puncak Borneo.

“SI yang mencatatkan keputusan lulus 100 peratus bagi mata pelajaran ialah SI Kajang, SI Bentong, SI Kluang, SI Kuching, SI Muar dan SI Sungai Petani,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika berucap dalam sambutan Hari Penjara Ke-227 dan Hari Antidadah Kebangsaan 2017 di Penjara Simpang Renggam dekat sini hari ini.

Dalam majlis itu beliau melancarkan Yayasan Koreksional dan modul Certified Psycho-Education Practitioner (CCP), selain menyampaikan sumbangan, penyerahan kereta dan enjin oleh Proton Holdings Berhad, enjin oleh Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn. Bhd. serta penyerahan sijil Standard Kualiti Songket kepada Jabatan Penjara.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ke­tua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Ahmad Zahid berkata, jumlah calon yang menduduki peperiksaan SPM 2016 ialah seramai 157 orang yang terdiri daripada 100 juvenil SHG dan 57 banduan muda SI.

Jelasnya, prestasi mereka telah memperbaiki Gred Purata Sekolah (GPS) keseluruhan SPM 2016 bagi SHG dan SI kepada 5.38 daripada 6.10 mata sebelum ini.

“Satu lagi kejayaan mereka yang boleh kita banggakan ialah 68 daripada mereka memperoleh sekurang-kurangnya 1A dan tiga daripadanya mendapat 7A,” katanya.