Dengan kemenangan itu, pelajar tersebut membawa pulang wang RM5,000 dan tambahan RM1,000 untuk sekolah serta hadiah istimewa Lawatan Menimba Pengalaman Kulinari ke Bandung, Indonesia.

Tempat kedua disandang SMK Paya Pulai, Temerloh, Pahang yang menerima hadiah wang RM2,000 dan SMK Batu Melintang, Jeli, Kelantan menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM1,000.

Sebanyak 16 sekolah menengah di seluruh negara melibatkan 48 pelajar berumur antara 13 hingga 15 tahun menunjukkan kemampuan masing-masing menyediakan hidangan pilihan bertemakan ‘Sajian Klasik Malaysia Sentuhan Tersendiri’.

Hadiah kepada pemenang di­sampaikan Pengarah Bahagian Ko­­kurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad.

Yang turut hadir Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle Malaysia, B. Geetha dan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan negeri, Abdullah Mat.

Sementara itu, pelakon terkenal Sheila Rusly menyifatkan semua pelajar terlibat dalam pertanding­an masakan itu merupakan mereka yang mempunyai minat mendalam dalam bidang tersebut.

“Masing-masing sekumpulan tiga orang mempamerkan komitmen yang tinggi semasa menyediakan setiap hidangan yang diperlukan,” katanya.

Beliau yang merupakan Ketua Juri pertandingan itu berkata, kemampuan peserta memasak hidangan dengan baik juga didorong oleh kaedah pembelajaran yang diperoleh di sekolah masing-masing.

“Minat mendalam dan dorongan termasuk Nestle yang menganjurkan pelbagai pertandingan membolehkan pelajar tersebut menyediakan diri untuk menyertai bidang kulinari sebagai kerjaya masa depan,” katanya.