Kemenangan berdasarkan penilaian dari Februari hingga Mei lalu itu memboleh­kan SMK Bentong membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500 dan sijil.

Pengetua SMK Bentong, Hanifah Veerankutty berkata, kejayaan merangkul juara sekali gus membolehkan sekolah berkenaan mewakili Pahang ke peringkat Kebangsaan merupakan hasil usaha keras semua pihak termasuk guru, pelajar dan ibu bapa.

“Pencapaian ini mampu menaikkan nama sekolah dan menjadi hadiah buat semua pihak yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan usaha ini secara berterusan.

“Ini menunjukkan bahawa selain berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum, SMK Bentong turut memen­tingkan kesedaran am me­ngenai kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan,” katanya dalam program itu di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Dr. Tajuddin Mohd. Yunus.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Patrol Denggi SMK Bentong, Pudian Rahim Abdul Wahid berkata, melalui pertandi­ngan itu pihak sekolah dinilai dalam segi seni persembahan, media sosial, khidmat komuniti dan kuiz dalam talian.

Katanya, warga sekolah sentiasa mematuhi prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dalam memerangi wabak denggi dengan melaksanakan pelbagai pendekatan termasuklah aktiviti pencegahan dan kempen.

“Melalui program yang mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan agensi terlibat ini telah dapat mengeratkan lagi si­laturahim dan jalinan kerjasama yang erat,” katanya.