Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr. Mohd Suhaimi Moha­med Ali berkata, latihan ini pen­ting agar mereka mahir mengendalikan modul berkenaan yang dibangunkan secara kerjasama dengan Kumpulan Utusan sebagai antara komponen utama program penjenamaan pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) yang disokong Kementerian Pendidikan.

“Golongan ini dapat membantu sekolah melaksanakan modul ini dengan lebih berkesan semasa mereka menjalani latihan praktikum selama hampir tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memantau perjalanan Kursus Kejurulatihan Tutor Siswa Modul 10 Minit di institut itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seramai 30 siswa guru yang mengikuti kursus ini diberi latihan asas mengenai konsep, komponen yang perlu diterapkan, budaya berfikir dan kemenjadian murid yang bakal dicapai melalui aktiviti-aktiviti yang laksanakan.

Mereka akan berperanan sebagai jurulatih dan menjadi pakar rujuk, pengendali dan jurucakap modul ini di sekolah.

Dalam kursus ini, peserta me­laksanakan empat aktiviti Modul 10 Minit supaya mereka lebih jelas dan boleh memahami keseluruhan aktiviti PAK-21 ini.

Modul 10 Minit dalam perhimpunan merupakan aktiviti ringkas yang mula dilaksanakan pada tahun lalu untuk membudayakan amalan berfikir dari aras rendah hingga aras tinggi.

Berbeza dengan tahun lalu, modul semasa ditambah baik dengan dilengkapi elemen pentaksiran agar pelaksanaannya dapat diteruskan di dalam bilik darjah sekali gus menyokong aspirasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Untuk itu, jumlah halaman penerbitan modul ini pada Utusan Pelajar juga ditambah menjadi dua muka surat dengan reka bentuk yang lebih menarik.

Utusan Pelajar terbit setiap Isnin dengan harga langganan RM1 senaskhah di Semenanjung Malaysia dan RM1.50 di Sabah dan Sarawak.