Ketua Setiausahanya, Datuk Sri Alias Ahmad berkata, menerusi peruntukan itu, setiap sekolah terpilih berpeluang mewujudkan dua bilik darjah yang dilengkapi komputer dan kemudahan terkini.

Menurutnya, pendidikan yang tidak berpusatkan guru tetapi lebih tertumpu kepada penerokaan ilmu dan pencarian maklumat itu adalah kaedah pendidikan moden selaras dengan pembangunan teknologi maklumat semasa.

"Ini adalah satu perubahan yang akan dilaksanakan dalam usaha menukar sistem pendidikan secara konvensional kepada sistem berteknologi canggih," katanya ketika ditemui dalam Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia 2018 di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh, di sini hari ini.

Program berkenaan yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini menarik lebih 18,000 pengunjung dan perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Alias dalam pada itu berkata, sepanjang tahun ini KPM diberi peruntukan sebanyak RM45.962 bilion di bawah belanja mengurus dan belanja pembangunan, manakala sebanyak RM500 juta diperuntukkan di bawah Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelengaraan Sekolah.

Beliau berkata, sebanyak RM500 juta juga diperuntukan kepada sekolah daif di Semenanjung dan RM1 bilion bagi sekolah daif di Sabah dan Sarawak yang membabitkan hampir 2,000 buah sekolah yang perlu membaiki bumbung yang bocor, lantai rosak, dinding berlubang dan peralatan yang sudah lama tidak berganti.

Menurutnya, dari sudut pembangunan pula, sebanyak RM654 juta diperuntukkan bagi pembinaan empat buah prasekolah, sembilan buah pusat Permata termasuk dua pusat baharu untuk kanak-kanak autisme selain memberi manfaat kepada 48 buah sekolah rendah, menengah, kolej vokasional dan sebuat pusat matrikulasi.

Di Kelantan katanya, KPM telah menyalurkan lebih RM219.4 juta menerusi peruntukan Bantuan Persekolahan iaitu bantuan umum, bantuan khusus dan bantuan one off untuk dimanfaatkan murid sekolah. - UTUSAN ONLINE