Program di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) sya­rikat itu melibatkan warga sekolah menengah di daerah Besut, Setiu dan Kuala Nerus.

Ini melengkapkan siri pendedahan panduan keselamatan bagi warga pendidik di seluruh daerah di negeri ini.

Pengurus Besar Petronas Wi­layah Timur, Wan Hasnan Wan Abdullah memberitahu, modul kursus SHOC4School digubal khas bersesuaian dengan ke­perluan sekolah serta menepati peraturan pengendalian bahan kimia yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Program ini bertujuan me­ningkatkan kesedaran tentang ke­mungkinan bahaya kimia dan panduan kepada guru-guru Sains dan petugas dalam penge­ndalian secara betul dan selamat di makmal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pe­rasmian kursus SHOC4School yang disempurnakan Ketua Sektor Pengurusan Akademi Ja­batan Pendidikan negeri, Azman Othman di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals LDPE Sdn. Bhd. (PC LDPE), Alias Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Teknologi Petronas (Instep), Chandramohan M. Saminathan.

Beliau menjelaskan, idea penganjuran program yang dijayakan melalui PPC LDPE itu dicetuskan oleh Alias dan jurutera kimia di syarikat itu.

“Ia sebahagian daripada cara kami berkongsi pengetahuan dan pengalaman Petronas da­lam aspek pengendalian bahan secara selamat oleh kalangan petugas makmal melalui modul yang digubal khas bersesuaian dengan keperluan sekolah.

“Atas usaha ini, anak syarikat entiti petrokimia Petronas itu diiktiraf oleh Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM) dengan Anugerah Emas Kesedaran Komuniti dan Kod Tindak Balas Kecemasan dua tahun berturut-turut,” katanya.