Pengarahnya, Prof. Datuk Dr. Noriah Mohd. Ishak berkata, sebanyak 95 peratus daripada pelajarnya yang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) telah memilih bidang berkenaan.

“Sehingga kini terdapat lebih 579 lepasan Permata Pintar yang sedang menuntut di universiti-universiti terkemuka di dalam dan luar negara.

“Kita berhasrat untuk menjadi sebuah institusi yang mendukung peranan melahirkan tenaga pakar dalam bidang STEM yang boleh dianggap kritikal pada masa kini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Kerjaya Permata Pintar 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Persatuan Muafakat Permata Pintar, Samri Zainuddin.

Program yang berlangsung selama dua hari itu telah memberi manfaat kepada kira-kira 600 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar di peringkat asasi berkaitan laluan melanjutkan pelajaran dan pemilihan kerjaya.

Noriah menambah, sebanyak lapan badan korporat dan penaja seperti Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Yayasan Telekom Malaysia (TM) dan Sime Darby Bhd. telah mengambil bahagian.

Menurut beliau, program berkenaan diolah untuk memberikan pencerahan kepada pelajar di samping memupuk minat dalam bidang tertentu seperti STEM, perubatan dan psikologi.

“Dalam pada itu, kita juga menerima penyertaan universiti swasta yang memberi pencerahan mengenai syarat-syarat kemasukan, cabaran dan bidang pengajian yang ditawarkan,” katanya.