Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian melalui bahagian sukan bekerjasama dengan Persatuan Golf Malaysia untuk menaja pelajar berkenaan mendapat latihan di Amerika Syarikat dan Australia, pada tahun depan.

“Kita kini sedang mencari lokasi sesuai untuk menempatkan pelajar-pelajar tersebut menjalani latihan di Miami dan Florida dan juga Australia.

“Bagi kumpulan pertama ini kita merancang untuk hantar pelajar tingkatan tiga untuk jalani latihan dan dalam masa sama akan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat sekolah tinggi di sana sebelum menyambung ke peringkat Ijazah Sarjana Muda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Majlis Ramah Mesra sempena Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Kelab Golf Impian Kajang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden MGA, Tan Sri Mohd. Anuar Mohd. Noor dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Khair Mohamad Yusof.

Mengulas lanjut beliau berkata, program tersebut melibatkan kos tinggi dan memerlukan perbincangan dengan banyak pihak.

“Untuk seorang pelajar kita memerlukan kos sehingga RM60,000 bagi melahirkan seorang pemain golf profesional,” ujarnya.