Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain, Che Ratni Muhamad berkata, dengan mempelopori sesuatu, seseorang pelajar itu dianggap antara yang terbaik dan hebat.

“Untuk mencapai hasrat itu, pelajar perlu bijak berfikir di luar kotak dan memiliki inovasi yang tinggi,” pesan beliau dalam majlis meraikan persaraannya di dewan sekolah itu di Semenyih, Sela­ngor, baru-baru ini.

Beliau yang memulakan per­khidmatan pada tahun 1983 di SMK Tumpat, Kelantan turut diraikan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu dan pengetua sekolah berhampiran.

Antara sekolah yang beliau pernah berkhidmat termasuklah SMK Ayer Lanas, Kelantan (1987-1989); SMK Ahmad Pekan, Pahang (1990-1992); SMK (Agama) Maahad Muhamadi (Perempuan) Kota Bharu (1993-1999); SMK Alam Megah Shah Alam, Sela­ngor (2000-2004); SMK Jalan 4, Bandar Baru Bangi (2005-2012); SMK Tasek Permai (2013-2014) dan SMK Engku Husain.

Menurut Che Ratni, jumlah pelajar yang tinggi di SMK Engku Husain seramai 3,200 orang memberi peluang kepada mereka dalam meningkatkan hubungan interaksi yang pelbagai antara satu sama lain.

“Selain itu, pelajar juga mempunyai pelbagai pilihan sama ada untuk cemerlang dalam akademik atau menguasai bidang kemahiran yang ditawarkan,” katanya.

Seterusnya, beliau berpesan agar pelajar SMK Engku Husain menuntut ilmu sehingga akhir hayat dan jangan sesekali mensia-siakan peluang menimba penge­tahuan walaupun sudah berusia.

“Kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berusahalah sedaya upaya dan buatlah terbaik dalam peperiksaan nanti kerana susah payah yang kalian lakukan hari ini adalah penentu bahagia masa depan,” katanya memberi motivasi.

Che Ratni turut berpesan kepada warga pendidik agar sentiasa amanah dan jujur dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

“Seharusnya kita sentiasa patuh dan mentaati ikrar khidmat guru yang dilafazkan ketika mula-mula diberi tugas menjawat jawatan guru,” katanya.