Pengarah Mara negeri, Ismail Abdullah berkata, hal-hal berkaitan pembiayaan yang selalu digembar-gembur dalam media sosial bukan isu kritikal kerana Mara tetap menaja pelajar yang layak.

“Mara masih kekal menaja pelajar yang mengikuti pengajian di institusi-institusi pendidikan kami. Penajaan kita bergantung kepada merit pendapatan, kalau kita dapati keluarga mampu, maka calon itu tidak akan dapat keutamaan.

“Apa yang penting adalah Mara akan sentiasa membantu golongan berpendapatan rendah untuk mendapat penajaan,” katanya ketika ditemui di Karnival Pendidikan Mara 2017 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Mengulas mengenai Karnival Pendidikan Mara 2017, Ismail berkata, pada tahun ini Kelantan adalah lokasi kedua karnival itu selepas Perlis.

Beliau berkata, dalam tempoh dua hari pihaknya menjangkakan 160,000 pengunjung akan hadir pada karnival yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

“Karnival kali ini menampilkan sebanyak 62 gerai yang terdiri daripada pelbagai institusi pengajian awam dan swasta termasuk Ipma di seluruh negara.

“Karnival ini menjadi pusat sehenti kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terutama yang mahu mengetahui peluang melanjutkan pengajian dan pembiayaan pendidikan.

“Pelajar dapat mengenal pasti bidang yang sesuai dengan merit mereka selain berpeluang mengikuti temuduga kemasukan oleh sebahagian institusi,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang mahu bergambar sebagai penghias kulit majalah hiburan seperti selebriti terkenal Neelofa atau Fattah Amin kini berpeluang berbuat demikian di Karnival Pendidikan Mara 2017 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Kumpulan Utusan menawarkan peluang tersebut menerusi studio mininya serta khidmat jurugambar profesional dengan caj RM10 sahaja.

Eksekutif Pengerusan Jenama Kumpulan Utusan, Hazwan Hairul berkata, sempena karnival tersebut yang berangsung selama dua hari bermula hari ini, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti serta le­bih 100 hadiah menarik kepada pengunjung.

“Selain itu, kita juga menawarkan harga runtuh untuk produk terbitan Kumpulan Utusan di samping menyediakan kupon cabutan bertuah hadiah barangan elektrik dan gajet kepada setiap pembelian buku dan majalah bernilai RM5 ke atas.

“Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti santai ‘Putar dan Menang’ sekiranya mereka membeli dua naskhah akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia,” katanya.