Terbaharu, Pengerusi Fokus Group Pembangunan Modal Insan, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Shariful Azhar Othman melawat SK Pulau Aman dan menyampaikan sumbangan kepada sekolah itu.

Shariful Azhar berkata, biarpun SK Pulau Aman dikategorikan sebagai sekolah kurang murid (SKM) dan terletak di sebuah pulau, namun pencapaian akademik dan pentadbirannya sentiasa dipantau.

“SK Pulau Aman adalah salah sebuah sekolah yang dipilih menyertai Mutiara menerusi Program Didik Cemerlang Akademik (PDCA) bagi meningkatkan pencapaian murid dalam peperiksaan.

“Difahamkan tahun ini, 10 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dari sekolan ini dan berharap mereka mampu peroleh 6A,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Mohd. Noor Ahmad dan Guru Besar SK Pulau Aman, Nokman Che Abbas.

Pada lawatan itu, Shariful Azhar turut menyumbangkan kipas angin, LCD projektor dan buku rujukan UPSR untuk kegunaan muridnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa supaya meng­utamakan pelajaran anak-anak mereka serta sentiasa memberi dorongan kepada mereka untuk terus belajar.