Gelagat kedua-dua karakter itu secara tidak langsung dapat menghilangkan perasaan gementar murid tahun satu yang baharu melangkah ke alam persekolahan di samping mencuit hati murid lain dan kalangan ibu bapa. 

Guru Besar, Mohamad Kabidi Mohamad berkata, seawal pukul 6.45 pagi lagi Mickey dan Minnie Mouse menunggu di pintu pagar sekolah bagi menyambut kedatangan seramai 1,300 anak-anak sebelum turut serta dalam aktiviti pagi di dewan.

Katanya, inisiatif dengan kerjasama Unit Kaunseling dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu disifatkan lebih meriah berbanding penganjuran kali pertama tahun lepas berikutan keadaan cuaca yang baik pada hari ini. 

GELAGAT Mickey dan Minnie Mouse menceriakan hari pertama persekolahan di SK Sultan Sulaiman 1 hari i
GELAGAT Mickey dan Minnie Mouse menceriakan hari pertama persekolahan di SK Sultan Sulaiman 1 hari ini. - UTUSAN ONLINE/ AZLAN BAHRUM

“Tahun lalu kita bawa adiwira Spiderman ke sekolah tetapi mereka tidak dapat menyambut kedatangan anak-anak di pintu pagar kerana hujan. 

“Saya nampak kehadiran maskot ini memberi satu perubahan kepada anak-anak apabila mereka tidak lagi menangis sebaliknya mereka lebih teruja, gembira dan rela berpisah dengan ibu bapa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Mohamad Kabidi memberitahu, ekoran sambutan positif yang diterima maka pihak sekolah akan meneruskan usaha membawa maskot setiap kali sesi persekolahan baharu bermula. 

Katanya, daripada keseluruhan 1,300 muridnya seramai 230 merupakan murid tahun satu yang ditempatkan di lapan kelas. - UTUSAN ONLINE