Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, PIBG yang mewakili suara ibu bapa turut mempunyai peranan sejajar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Melalui PIBG banyak program serta aktiviti boleh disusun bagi me­ngatasi kekurangan yang ada terma­suk memohon kemudahan asas yang masih diperlukan pihak sekolah.

“Sekolah tentunya bertuah ke­rana memiliki kepimpinan PIBG yang dapat berganding bahu se­tiap masa serta bersedia untuk menjalankan aktiviti termasuk mengumpul dana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Pontian Besar dengan kos RM200,000 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PIBG SK Pontian, Zaiton Abd. Hamid, Guru Besar SK Pontian Besar, Nor Azize Jaafar dan Penghulu Orang Asli, Osman Abu Bakar.

Mengenai dewan berkenaan, beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pembinaan dewan itu adalah atas permintaan penduduk kampung memandang­kan tiada kemudahan tersebut di kawasan berkenaan.

“Selain kegunaan pihak sekolah, diharap ianya boleh digu­nakan penduduk sekitar un­tuk menjalankan aktiviti ke­ma­syarakatan termasuk aktiviti be­riadah,” ujarnya.