Pegawai Penyelaras Sekolah Murid Orang Asli JPN Kelantan, Azman Jaafar berkata, menerusi Kedap, kumpulan sasaran iaitu para ibu bapa murid Orang Asli bukan sahaja berpeluang me­nimba ilmu, malah merapatkan silaturahim antara golongan itu dengan pihak sekolah.

Menurutnya, setakat ini, kelas berkonsepkan 'ayah, ibu dan anak menjadi murid' tersebut telah pun berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lah, di sini.

“Sepanjang tahun ini seramai 25 murid dewasa telah mengikuti kurikulum khas yang dilaksanakan menerusi Kedap.

“Mereka memberi komitmen tinggi mengikuti kelas ini dan berjaya menamatkannya dengan cemerlang,” katanya selepas me­rasmikan Majlis Graduasi Kedap di SK Kuala Lah barui-baru ini.

Yang turut hadir, Guru Besar SK Kuala Lah, Paridah Mat Jali.

Azman dalam pada itu memberitahu, murid dewasa yang mengikuti Kedap adalah golo­ngan Orang Asli dari suku Temiar, Bateq dan Mendriq yang datang dari Kampung Kuala Lah dan Kampung Kuala Wook, dekat sini.

“Selain membantu ibu bapa menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira, pelaksanaan Kedap turut membantu meningkatkan peratusan keha­diran murid ke sekolah dari 76.91 peratus pada awal Januari kepada 90.28 peratus pada penghujung Oktober lalu.

“Para ibu bapa tersebut turut melaksanakan projek komu­niti dan bergotong-royong dalam membangunkan keceriaan per­sekitaran sekolah. Pada tahun ini, mereka berjaya membina pondok tradisional di sekolah,” katanya.

Menurut beliau, kesungguhan SK Kuala Lah melaksanakan Kedap secara tidak langsung turut mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan apabila dipilih sebagai antara tiga sekolah Orang Asli terbaik di negara ini dalam aspek Pengurusan Program Kedap, baru-baru ini.