Pengarah program itu, Mohd. Uskandar Haris berkata, program yang diadakan selama tiga hari dua malam itu diadakan bagi memenuhi syarat mata pelajaran kokurikulum bagi pelajar semester tiga.

“Penglibatan yang menggalakkan dalam kalangan pelajar menjadikan program ini sebagai platform memperkasa kemahiran asas ke arah melahirkan insan cemerlang.

“Ia juga dilihat sebagai peluang bagi pelajar menjalin dan merapatkan hubungan dengan masyarakat serta menggalakkan mereka melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan mesra komuniti,” katanya.

Sepanjang program itu diadakan, pelajar turut didedahkan dengan latihan merentas hutan bakau dan latihan kayak di Sungai Semeling.

Mohd. Uskandar berkata, program telah diadakan dengan jayanya dan memberi nilai tambah kepada pelajar bagi mencapai tahap akademik cemerlang selain mewujudkan semangat kerja berpasukan, memupuk jati diri dan cintakan tanah air.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Semarak kerana memberi kerjasama dalam menjayakan program ini,”katanya.

Seorang peserta program itu, Nur Nadia Zulkifli berkata, program itu mampu melahirkan pelajar yang berkaliber, berpendidikan, bertanggungjawab dan berkemahiran.

“Secara tidak langsung membentuk keperibadian mereka menjadi seorang pemimpin, bertanggungjawab serta mempunyai kepakaran khusus dalam kemahiran tertentu,

“Kehadiran kami amat dihargai penduduk di sini dan menjadi kenangan manis yang sukar untuk dilupakan,” katanya. - ABD. RAZAK OSMAN