Muhammad Aiman Malib, 15, yang memperoleh keputusan 10A 1B berkata, dibesarkan dalam keluarga di mana kedua ibu bapa telah berpisah menyebabkan dia mahu mencabar diri menjadi individu berjaya.

Malah katanya, kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang itu juga merupakan permulaan untuknya mencorak kejayaan lain pada masa hadapan.

"Faktor keluarga menyebabkan saya berusaha keras di mana saya mahu ubah nasib keluarga dan menjadi orang yang berjaya.

"Saya juga suka mencabar diri, apabila melihat orang lain memperoleh keputusan yang baik, saya juga mahu mendapatkan kejayaan yang sama," katanya.

Muhammad Aiman memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Melayu (lisan), Bahasa Inggeris (lisan), Sejarah, Geografi, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Matematik, Sains, dan Kemahiran Hidup Bersepadu.

Menurut naib johan pertandingan syarahan agama peringkat kebangsaan itu, walaupun aktif dalam pelbagai kegiatan kokurikulum dan akademik di peringkat sekolah, kebangsaan dan antarabanga, itu tidak menjadi penghalang untuknya berjaya.

"Ramai anggap bila saya terlalu aktif, saya tidak akan dapat banyak A. Telahan itu silap kerana apa yang penting adalah pandai membahagikan masa.

"Saya mahu buktikan walaupun saya bekerja di luar dan menjual keropok di sekolah, saya masih mampu meraih keputusan yang cemerlang," katanya.

Tambahnya lagi, tiada sebarang rahsia yang diamalkannya kerana dia hanya belajar seperti

biasa dengan menumpukan perhatian di dalam kelas.

Apa yang penting katanya, dia hanya meletakkan pengharapan tinggi kepada Allah dalam setiap perbuatan dan pekerjaan bagi memastikan semua yang dilakukan berjalan lancar.

"Setiap kali cuti sekolah saya memang bekerja bagi memabantu meringankan beban keluarga. Ayah berniaga di pasar malam dan emak pula berniaga nasi lemak.

"Saya sendiri lewat ke sekolah hari ini kerana menghantar barang pesanan pelanggan namun amat gembira apabila melihat keputusan PT3 saya hari ini," katanya. - UTUSAN ONLINE