Melalui ruangan tersebut, pem­baca boleh melihat gambar-gambar menarik yang dihasilkan jurugambar Kumpulan Utusan, selain perkongsian mengenai teknik yang betul termasuk bagaimana cara untuk mendapatkan penghasilan terbaik.

Pengetua SMK Bandar Rin­ching, Saliha Mansor berkata, pihaknya bersetuju menjadi rakan strategik ruangan Lensa Rencam kerana dijadikan rujukan terutama kepada pelajar yang meminati bidang fotografi.

“Pada tahun 2016, pihak sekolah telah mendapatkan khidmat daripada jurugambar Kumpulan Utusan dan meminta mereka mengadakan kursus fotografi.

“Selepas mengikuti kursus, pelajar telah menunjukkan perubahan yang ketara dan mereka berjaya menghasilkan gambar yang menarik,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut di Hulu Langat di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Sektor Operasi Pendidikan, Kementerian Pendidi­kan, Aminudin Adam mengadakan lawatan ke sekolah tersebut dan menyampaikan ama­nat kepada pengetua serta pengurusan tertinggi sekolah yang terdapat di sekitar daerah Hulu Langat.

Yang hadir sama Timbalan Ke­tua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Pengurus Jabatan Pengarang, Ainol Amriz Ismail serta Editor Foto Kumpulan Utusan, Abdul Kadir Bachok.

Saliha menjelaskan, pihaknya bersetuju menjalinkan kerjasama kerana yakin akan kemampuan jurugambar tersebut dalam me­nyampaikan ilmu kepada pelajar.

“Ramai pelajar meminati bidang fotografi, namun mereka tidak mengetahui teknik yang be­tul termasuk bagaimana cara mendapatkan imej berkualiti.

“Sebagai rakan strategik, pihak sekolah akan berusaha menarik lebih ramai peserta dalam kala­ngan guru dan pelajar di sekitar Hulu Langat dan mahu mereka menyertai kursus fotografi,” katanya.

Tambahnya, bidang kemahiran sangat penting kerana boleh mewujudkan pelajar yang berkebolehan dalam sesuatu perkara, selain perlu cemerlang dalam pelajaran.