Murid berkenaan, Maisarah Samsul Bahrin dari Kampung Baru, Bota Kanan di sini tetap gembira memulakan persekolahnnya di Kelas Satu Amanah sekolah tersebut.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Perak Tengah, Ahmad Daud Zainuddin berkata, sekolah itu yang dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid menerima kemasukan murid tahun satu paling sedikit kali ini berbanding 10 orang tahun lalu.

Menurutnya, ini disebabkan jumlah penduduk terutama golongan muda yang semakinberkurangan kerana berhijrah ke kawasan bandar khususnya di Seri Iskandar dekat sini.

"Walaupun cuma seorang murid, tumpuan yang diberikan oleh guru-guru terhadap murid ini tetap sama malah guru boleh memberikan tumpuan yang lebih terhadapnya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, ibu kepada Maisarah, Nor Anita Hasin, 42, berkata, dia tetap menghantar anaknya ke sekolah tersebut walaupun cuma anaknya sahaja yang belajar di tahun satu.

Menurutnya, menjadi satu-satunya murid tahun satu di sekolah itu bukan masalah asalkan anaknya gembira bersekolah.

"Pada awalnya dia tak mahu bersekolah di sini tapi semasa hari pendaftaran baru-baru ini, dia kata seronok dan mahu bersekolah di sini," katanya. 

SK Cikgu Mior Shaharuddin yang sebelum ini dikenali SK Padang Tenggala mempunyai 30 orang murid tahun satu hingga tahun enam. - UTUSAN ONLINE