Program yang dilancarkan pada 2010 diba­ngunkan secara usahasama awam-swasta antara Kementerian Pendidikan, Kha­zanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Ya­yasan AMIR, bertujuan mewujudkan model transformasi sekolah yang boleh dijadikan contoh di seluruh negara.

Ia akan memastikan setiap guru dilatih mengikut 10 modul yang digariskan supaya pengajaran guru lebih fokus, mampu mengawal kelas dengan baik dan peka dalam membezakan tahap keupayaan murid dalam setiap kelas yang diajar.

Tidak terkecuali guru-guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Hisamuddin Alam Shah, Kuala Lumpur yang kini telahpun me­nguasai sepenuhnya teknik pe­ngajaran mengikut aturan modul yang ditetapkan. Sekolah tersebut telah menyertai Program Sekolah Amanah pada 2013 dan sejak itu banyak perubahan positif dapat dilihat sama ada kepada guru dan murid mahupun persekitaran sekolah.

Guru sekolah itu, Norma’asah Jaafar Sidek, 43, berkata, setiap guru di sekolah itu memainkan peranan untuk menambah baik kelemahan yang ada bagi memastikan pendekatan khususnya teknik pengajaran yang diaplikasikan itu bersesuaian dengan murid.

“Kami di SK Sultan Hisamuddin Alam Shah akan menitikberatkan peranan gu­ru terlebih dahulu kerana mereka adalah platform untuk memastikan sekolah bergerak dengan baik dan murid mencapai kecemerlangan yang dikehendaki.

“Program ini adalah satu program bimbingan jangka panjang untuk guru kerana tanpa sedar sebenarnya banyak lagi cara yang boleh dipraktikkan untuk mendidik murid-murid dengan lebih berkesan selain daripada mengajar dan memberi latihan kepada mereka.

“Malah, saya sendiri turut sa­ma membina keyakinan diri bersama murid di sekolah ini semasa menggerakkan program tersebut. Tiada lagi pe­rasaan takut atau gementar setiap kali orang luar ingin memantau cara pe­ngajaran saya di kelas,” kata­nya kepada Utusan Malaysia, di sini, kelmarin.

Semua sekolah ya­ng terlibat dengan pro­g­ram tersebut a­kan melalui fasa-fasa ter­tentu. Tahun pertama adalah tempoh permulaan untuk guru mengenal pasti kekuatan dan kelebihan masing-masing.

Tahun kedua hingga keempat adalah tem­poh transformasi yang mana guru akan mempraktikkan semua teknik pengajaran di dalam kelas, manakala tahun kelima adalah fasa operasi apabila guru telah menguasai sepenuhnya 10 modul yang ditetapkan dan pihak sekolah akan mengambil alih semua program tanpa pemantauan daripada LeadEd Services iaitu sebuah syarikat penyedia perkhid­matan pendidikan tempatan yang dilantik Yayasan AMIR.

Norma’asah yang juga pe­mimpin pertengahan bagi pro­gram itu berkata, untuk menghasilkan guru yang bagus ten­tunya banyak cabaran, lebih-lebih lagi dalam melatih guru dengan perkara baharu.

Sebab itu, katanya, guru-guru di sekolah tersebut dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan setiap bulan mereka akan mengadakan perjumpaan untuk berbincang tentang masalah, usaha penambahbaikan serta berkongsi pengalaman. Ini bagi memastikan usaha yang dilakukan itu berterusan demi kecemerlangan murid-murid.

Jelasnya, pada tahun kelima menyertai Program Sekolah Ama­nah, banyak perubahan keta­ra yang boleh dilihat tidak kira kepada murid mahupun guru. Ketika ini, sekolah itu mempunyai 896 murid dan modul pengajaran itu diaplikasi kepada semua pelajar dari tahun 1 hingga tahun 6.

“Perubahan ya­ng pa­ling meng­gem­birakan adalah apa­bila melihat murid-murid di sekolah ini lebih mempunyai keyakinan diri, berani menyuarakan pendapat dan tidak takut untuk berkomunikasi dengan pihak lain.

“Malah, guru-guru di sekolah lain turut memuji murid-murid SK Sultan Hisamuddin Alam Shah yang sentiasa bersemangat untuk membentangkan sesuatu topik di kelas tanpa perlu dipaksa. Rata-rata murid sekolah ini akan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (Lelaki) Methodist dan Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (Perempuan) Methodist,” kata-nya.

Norma’asah berkata, ibu bapa juga mengakui perubahan positif anak-anak mereka dan sentiasa memberi kerjasama untuk membantu menambah baik usaha ya­ng dilakukan pihak sekolah melalui pendekatan program ter­sebut.

“Kami juga memberi peluang kepada ibu bapa untuk memberi cadangan bagi penambahbaikan. Setakat ini, ibu bapa sentiasa bekerjasama khususnya dalam menceriakan persekitaran kelas supaya murid lebih seronok untuk ke sekolah,” ujar beliau.