Perkara itu dibuktikan melalui acara persembahan kebudayaan murid tahun satu hingga enam selain beberapa pertandingan seperti menyusun puzzle, kuiz kenegaraan dan mewarna.

Akhbar Utusan Malaysia turut bersama memeriahkan pertan­dingan mewarna yang berjaya memupuk minat kanak-kanak kepada seni lukisan.

Guru Besar SK Permatang Bertam, Rosli Ali berkata, program itu mendapat kerjasama yang cukup baik daripada guru yang meluangkan masa melatih murid kelas mereka.

“Program ini diadakan sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut Malaysia sejak tahun 1959 lagi sebagai tanda persaudaraan dan persahabatan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Selain itu, program ini juga memastikan perkembangan kanak-kanak secara holistik meliputi segi fizikal, bahasa, emosi, sahsiah dan rohani mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Majlis perasmian program itu disempurnakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Permatang Bertam, Muhammad Afif Osman.

Rosli berkata, program itu berjaya mengubah keperibadian murid supaya tidak lagi malu ketika berhadapan dengan khalayak malah bersemangat membuat persembahan nyanyian, tarian dan lakonan.

“Kita berharap kerjasama se­perti ini dapat diteruskan pada masa depan ke arah mencungkil bakat murid serta membina keya­kinan diri mereka,” katanya.