Anak bongsu Sopha Sulaiman, 63, yang juga bekas wartawan akhbar itu dan Nazrani Musa, 52, itu mengakui sikap suka mencabar diri untuk cemerlang dalam setiap peperiksaan di sekolah membolehkan dia meraih keputusan berkenaan.

Anak bekas wartawan Utusan raih 10A
Nur Sofi Musfirah bersama ibunya, Nazrani Musa menunjukkan keputusan 10A yang diperoleh dalam Pentaksiran Tingakatan 3 (PT3) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah, hari ini.

Menurutnya, cabaran juga secara tidak langsung datang daripada dua kakaknya yang turut mendapat 10A dan 11A dalam peperiksaan masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, sebelum ini.

“Kami empat beradik sentiasa memberi dorongan antara satu sama lain yang mana kakak menjadi antara tempat rujukan jika saya tidak memahami mana-mana topik dalam pelajaran.

“Malah, saya juga menganggap semua peperiksaan di sekolah adalah peperiksaan besar dan akan membuat persediaan yang terbaik bagi mendapat keputusan cemerlang,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman PT3 di sini.

Sementara itu, dua rakan karib, Sofea Irdenna Annuar dan Nur Syaza Edrina Mahamad Zaki terkejut apabila turut memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan tersebut.

Kejutan itu hadir kerana kedua-dua mereka masing-masing hanya mendapat tiga dan empat A dalam peperiksaan percubaan sebelum ini.

"Bantuan guru menyediakan kelas tambahan kira-kira dua bulan sebelum PT3 sangat membantu untuk kami lebih bersedia menghadapi peperiksaan," katanya.

Tambah Sofea Irdenna, selain kelas tambahan, dia dan Nur Syaza serta beberapa lagi rakan akan menggunakan aplikasi panggilan video FaceTime jika ada antara mereka yang memerlukan penerangan tentang sesuatu topik yang tidak difahami.

"Walaupun buat ulang kaji di rumah masing-masing, kami masih mampu belajar bersama-sama menerusi aplikasi ini," katanya. - UTUSAN ONLINE