Program yang bermula dari pukul 10.30 pagi itu telah dirasmikan Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), Dr Zainal Alaam Hassan mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad.

Dalam ucapannya, Zainal Alaam berkata, penglibatan komuniti dalam pembangunan pendidikan di sekolah amat diperlukan bagi menjamin ‘kemenjadian’ pelajar.

“Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan kepentingan perkembangan pelajar dari sudut jasmani, emosi, intelek dan sebagainya.

“Kita mahu pelajar datang ke sekolah bukan sekadar untuk menuntut ilmu bahkan lebih daripada itu iaitu menjadi insan yang mampu maju ke hadapan dengan fikiran bertaraf global tanpa hanyut dengan arus kemajuan.

“Justeru kita sangat memerlukan sokongan komuniti setempat membantu sekolah melahirkan insan hebat, perkara ini sudah biasa di negara maju yang mana ibu bapa sendiri sanggup masuk ke kelas memberi khidmat,”katanya semasa berucap merasmikan program tersebut di sini petang ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Mohd Ezani Awang; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Datu’ Hashim, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman dan Guru Besar sekolah itu, Rohani Rajab.

Program gotong royong itu turut melibatkan aktiviti seperti menebang pokok; mengecat dinding sekolah; memotong rumput dan membersihkan Laman Sains. - UTUSAN ONLINE