Juara keseluruhan kejohanan itu yang mengumpul 103 mata membawa pulang wang tunai RM1,000 tajaan Elda Archery serta piala pusingan.

Menurut kenyataan BJ Wolfpack Cup 2019 kepada Utusan Malaysia hari ini, kejohanan kategori sekolah menengah dan terbuka melibatkan seramai 220 orang peserta itu turut menyaksikan pasukan BJ Wolfpack Archery Club menduduki tempat kedua, dengan meraih 82 mata dan hadiah wang tunai RM500.

NAIB Juara, pasukan BJ Wolfpack Archery Club. - UTUSAN ONLINE

NAIB Juara, pasukan BJ Wolfpack Archery Club. - UTUSAN ONLINE

Tempat ketiga pula dimenangi pasukan TKAC dengan pungutan 44 mata.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi di Dewan SMK Shah Alam Bukit Jelutong Timur.

Kejohanan itu turut diserikan dengan kehadiran pemanah jemputan daripada Pasukan Pelapis Elit Kebangsaan di bawah kendalian jurulatih memanah recurve wanita, Mohd. Marbawi Sulaiman.

Kejohanan BJ Wolfpack Cup dengan kerjasama strategik Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong dan SMK Shah Alam itu bermatlamat mengasah bakat-bakat muda dalam sukan memanah, sekali gus turut menjadi medan persediaan para pemanah sebelum ke pentas pertandingan lebih besar.

Dalam ucapan penutup kejohanan itu, Mohd. Najwan menaruh keyakinan tinggi sukan memanah mampu meningkatkan daya tumpuan dan fokus individu.

“Kalau kena dengan cara dan gaya latihan, mudah-mudahan (pemanah) di dalam dewan ini boleh menyumbang pingat emas Olimpik kepada Malaysia. Justeru, para pelajar teruskan memberi yang terbaik kepada sukan memanah ini,” kata beliau. - UTUSAN ONLINE