Alumni fakulti itu bagi sesi akademik 2011-2016, Muhamad Amirul Razali menyokong penuh kenyataan kementerian tersebut kerana isu pengiktirafan graduan sudah lama dibangkitkan tetapi masih tidak mendapat jawapan.

‘‘Selepas LPQB melawat FSU pada 2017, USIM telah mengubah silibus selari dengan permintaan lembaga itu dan kami belajar sama seperti graduan undang-undang dari universiti awam lain.

‘‘Jika FSU USIM perlu mengadakan kursus tambahan selama enam bulan bagi empat kursus sebelum sijil dapat diiktiraf, lembaga itu harus memperincikan tarikh kursus tersebut, bukan hanya berdiam diri,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengetuai lembaga itu mengumumkan Sijil Amalan Guaman (CLP) akan menerima pakai kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada tahap Se­nior Middle 3 bermula 1 Januari 2021 selepas melakukan perbinca­ngan dengan beberapa pihak.

Bagaimanapun, Exco Biro Akademik dan Mahasiswa Pemu­da UMNO, Farhan Khai­­­­ruddin mempertikaikan per­kara tersebut kerana menurut beliau, adalah lebih penting untuk LPQB mengiktiraf Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang USIM terlebih da­hulu.

Seorang lagi alumni, Nurul Shahida SamsulAzlan meminta agar LPQB memandang usaha keras pihak atasan FSU USIM untuk mendapatkan pengiktirafan bagi program itu sejak beberapa tahun lalu tetapi masih gagal.