Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan dan jasa Syed Razlan sepanjang beliau memegang jawatan tersebut.

“Kementerian yakin keputusan ini mampu memacu UPM ke arah kecemerlangan dan mencapai tahap terbaik sebagai antara universiti awam berkualiti di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Syed Razlan mengesahkan menerima surat penamatan kontrak tetapi bertekad akan menyelesaikan tugasnya.

“Saya berazam untuk menamatkan apa yang saya mulakan (siasatan) demi kecemerlangan UPM di masa hadapan,” katanya seperti dipetik portal The Malaysian Insight.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Kementerian Pendidikan berkata, pelantikan Tan Sri Ghauth Jasmon adalah sebahagian usaha memastikan sasaran UPM sebagai 100 universiti terbaik dunia dan dapat dicapai dalam tempoh dua tahun.

Kata kementerian, Tan Sri Ghauth Jasmon dilihat sebagai tokoh paling sesuai untuk menggantikan Syed Razlan berdasarkan reputasi dalam aspek pengurusan dan pentadbiran universiti.

“Ini termasuk kejayaan beliau semasa menjadi Naib Canselor di Universiti Malaya (UM),” katanya. - UTUSAN ONLINE