Penolong Pengurus Operasi Farm Fresh Milk Sdn. Bhd., Mohd Azrol Ahmad berkata, program dengan kelolaan Kementerian Pendidikan itu bertujuan memupuk dan meningkatkan kesedaran mengenai susu segar.

MOHD. AZROL AHMAD
MOHD. AZROL AHMAD

“Kita kongsikan manfaat dan khasiat susu serta kepentingannya serta perbezaan susu segar dengan susu tepung. Pelajar juga dapat mengetahui lebih lanjut bagaimana susu segar kami diproses.

“Produk terlaris kami adalah susu segar dengan kurma dan ramai sedia maklum khasiatnya, gandingan ini membantu kecergasan dan kecerdasan pelajar,” katanya ketika ditemui dalam program tersebut.

Program yang dimulakan dengan ucapan ringkas dan kempen anti dadah ini disusuli beberapa acara seperti laungan slogan berunsurkan Generasi Farm Fresh paling menarik, kuiz pengetahuan am mengenai susu segar dan sukaneka tuju selipar.

School Attack: Farm To School melibatkan 32 buah sekolah dengan sebuah sekolah kebangsaan dan sebuah sekolah menengah dipilih di setiap negeri dan wilayah persekutuan.

Tambah Mohd. Azrol, setiap sekolah menengah juga diminta menyediakan enam pelari terpantas untuk dicatatkan masa dengan dua daripadanya akan dipilih sebagai wakil bagi negeri masing-masing.

“Kita telah ke Putrajaya, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Kuala Lumpur. Destinasi seterusnya esok adalah Selangor sebelum program ke selatan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor disusuli pantai timur Kelantan, Terengganu dan Pahang serta akhir sekali Sarawak, Sabah dan Labuan,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE