Usah terkejut membaca warkah ayahanda ini. Ayahanda tahu, anakanda tidak pernah membaca surat atau warkah seperti ini. Malah, warkah seperti ini mungkin sesuatu yang luar biasa bagi anakanda. Anakanda hanya biasa membaca e-mel, mesej, WhatsApp, Instagram dan pelbagai saluran komunikasi moden. Sehinggakan warkah atau surat seperti ini sudah terlalu asing bagi anakanda. Mungkin anakanda juga berasa aneh dengan tindakan ayahanda mengutus warkah ini.

Ayahanda sengaja memilih untuk menulis warkah ini untuk membolehkan anakanda menoleh kepada sastera dan jati diri bangsa kita sendiri. Sastera dan budaya bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan kita. Walaupun anakanda sudah jauh meninggalkan dunia sastera kebanggaan ayahanda.

Anakanda!

Ayahanda bukanlah tidak sukakan kemodenan dan kemajuan. Ayahanda seperti orang lain juga amat menyukai apa-apa sahaja kemajuan yang memudahkan kehidupan kita. Ayahanda tidak mahu dikatakan kolot dan ketinggalan zaman. Namun, ayahanda tidak suka jika kita melupakan sastera dan budaya bangsa sendiri semata-mata ingin mengejar kemajuan. Kemajuan tidak seharusnya dibiarkan menghanyutkan sastera dan menenggelamkan jati diri bangsa kita. Begitu prinsip ayahanda.

Sememangnya anakanda tentu sedar betapa ayahanda adalah seorang penggiat sastera. Ayahanda seorang penulis. Ayahanda sekadar ingin mengingatkan anakanda yang seakan melupakan bahawa ayahanda ini, seorang pejuang sastera. Zaman persekolahan rendah dan menengah dahulu, anakanda begitu meminati karya-karya sastera ayahanda. Sehinggakan ayahanda terfikir bahawa anakanda akan mewarisi ayahanda sebagai penulis atau penggiat sastera. Namun, anggapan ayahanda itu ternyata tersasar dan meleset sama sekali apabila anakanda melangkah ke kolej matrikulasi dan kemudian ke universiti sehinggalah anakanda bergelar siswazah kejuruteraan sekarang.

Ya, memang ayahanda seorang penulis kerana ayahanda minat berkarya. Sudah lebih 30 tahun ayahanda menulis. Kira-kira sepuluh tahun sebelum anakanda lahir, ayahanda sudah menulis. Ayahanda menulis pelbagai karya sastera seperti cerpen, drama, sajak dan novel. Adakalanya ayahanda menulis juga artikel dan rencana mengikut keperluan dan kemampuan ayahanda. Novel-novel ayahanda diterbitkan oleh pelbagai penerbitan tanah air. Karya-karya eceran ayahanda pula sering disiarkan dalam akhbar dan majalah arus perdana. Kegigihan ayahanda berkarya, menyebabkan ayahanda pernah dikatakan sebagai seorang penulis prolifik. Penulis yang rajin berkarya. Ayahanda terima sahaja panggilan itu. Bagi ayahanda, jika kita rajin menulis tetapi karya tidak disiarkan, mungkin penulis itu tidak boleh dianggap prolifik sebab dia seorang sahaja yang tahu bahawa dia ada karya. Orang lain tidak tahu kerana tidak dapat membacanya.

Namun, ayahanda bukanlah penulis yang hebat dan terkenal. Ayahanda tidak pernah memenangi sebarang anugerah pun. Walau bagaimanapun, faktor itu bukanlah penghalang untuk ayahanda terus berkarya. Ayahanda menulis bukan untuk mengejar nama, tetapi ayahanda mahukan dunia sastera bangsa kita terus hidup subur dan berbunga mekar.

Memang ayahanda akui bahawa ayahanda bukanlah penulis yang hebat. Jauh sekali terkenal berbanding dengan William Shakespeare, Tolstoy atau Tun Seri Lanang. Malah tidak sehebat Hamka, Chairil Anwar, Pramoedya Ananta Toer atau Sapardi Djoko Damono di Indonesia. Ayahanda masih terlalu jauh ketinggalan berbanding Sasterawan Negara atau tokoh-tokoh penulis tanah air yang lain. Walau bagaimanapun, ayahanda tetap menulis. Malah, ayahanda akan terus berkarya. Biarlah karya ayahanda tidak setanding dengan karya penulis-penulis terkenal di dunia, tetapi ayahanda tetap puas. Ayahanda tetap berbangga kerana ayahanda mampu berkarya. Mampu mencurahkan bakti dalam bidang yang ayahanda minati ini. Sekaligus dapat mengimarahkan sastera bangsa kita.

Ayahanda sedar, bukan semua orang mampu berkarya. Malah, untuk mampu menjadi penulis seperti ayahanda pun tidaklah ramai. Ayahanda pernah terdengar keluhan dan kekecewaan rakan-rakan ayahanda yang cuba menulis, tetapi gagal menyiapkan walaupun sebuah sajak. Jauh sekali untuk menyiapkan cerpen atau novel. Semua ini adalah ketentuan Allah. Allah yang mengkehendaki ayahanda menjadi penulis. Ayahanda amat bersyukur dikurniakan kemampuan dan kebolehan ini. Ayahanda akan menggunakan anugerah ini demi sastera dan jati diri bangsa kita yang disayangi ini.

Ayahanda juga sedar betapa untuk menjadi penulis yang tidak jemu-jemu menulis dalam tempoh 30 tahun itu memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang sangat kuat. Ramai rakan penulis ayahanda yang sudah menggantung pena atau menyimpan papan kekunci komputer ke dalam kotak atau stor disebabkan karya mereka tidak lagi mendapat tempat di akhbar atau majalah kerana saingan hebat daripada penulis-penulis muda. Atas faktor ini, ayahanda sering menolak tanggapan bahawa penulis lama atau penulis yang sudah mencipta nama, mudah mendapat tempat dalam penerbitan. Bagi ayahanda, mutu karya lebih diutamakan dalam pemilihan karya walaupun ayahanda akui nama juga memainkan peranan yang besar. Namun, ayahanda tetap menulis walaupun banyak karya-karya ayahanda ditolak atau disenyapkan begitu sahaja. Penerimaan atau penolakan karya, bagi ayahanda merupakan asam garam seseorang penulis yang tidak hebat seperti ayahanda.

“Kebanyakan karya penulis tua masih di takuk lama. Tak berubah-ubah. Tidak sesuai lagi dengan perkembangan dunia sastera sekarang.” Begitu kata-kata yang pernah singgah di telinga ayahanda. Ayahanda tidak tahu, kata-kata itu sengaja diucapkan untuk membunuh semangat penulis tua macam ayahanda. Atau sememangnya penulis tua macam ayahanda ini bersifat jumud. Tidak mahu berubah mengikut perubahan zaman. Masih berkarya secara konvensional. Masih mengamalkan teknik penulisan lama dan tidak mahu mencuba sesuatu yang baharu. Ayahanda tidak pasti.

Sebenarnya, ayahanda tidak pernah membantah sebarang perubahan dan perkembangan baharu dalam proses berkarya. Sememangnya, dunia sastera juga memerlukan perubahan dan pembaharuan agar dilihat maju, sejajarnya dengan perubahan kemajuan yang dicapai. Namun bagi ayahanda, karya sastera ada nilai tersendiri yang perlu dikekalkan sebagai satu warisan. Ayahanda tidak mahu suatu hari nanti, anak cucu ayahanda menyalahkan ayahanda sebagai generasi terdahulu kerana tidak bijak mewarisi pusaka. Menjadikan bangsa kita suatu bangsa yang kehilangan warisan yang berharga. Betapa malu dan jijiknya kita pada pandangan anak cucu kita itu, jika hal ini benar-benar terjadi. Inilah yang membimbangkan ayahanda.

Memang ayahanda sering juga mengikuti perkembangan gaya atau stail penulisan yang dikatakan moden atau mengikut peredaran masa itu. Ayahanda membaca cerpen-cerpen atau novel eksperimental. Namun, ayahanda agak gagal memahaminya seratus peratus walau dibaca berulang kali. Bagi ayahanda, karya-karya seperti ini memang menguji minda dan membolehkan kita berfikir pada aras tinggi. Ayahanda tertanya-tanya juga, jika zaman moden ini kita memerlukan serba-serbi cepat dan pantas, kenapa pula karya sastera kita jadikannya lambat pula untuk difahami? Tidakkah ini membazirkan masa? Membaca sebuah cerpen eksperimental terpaksa menghabiskan masa yang panjang untuk memahaminya, apatah lagi sebuah novel. Tidak timbul masalah malas berfikir dalam hal ini seperti tanggapan sesetengah pihak. Pasti setiap pembaca karya sastera atau karya apa-apa sahaja akan membaca sambil berfikir! Hal ini penting untuk membolehkan kita memahami, sesuatu yang dibaca itu. Tetapi, jangan silap faham. Ayahanda tidak pernah menentang kehadiran karya seperti ini.

Begitu juga dengan karya bersifat popular yang menjadi kegilaan khususnya remaja dan suri rumah ini. Ayahanda juga tidak pernah menentang kehadirannya. Malah, ayahanda turut berbangga apabila para remaja berebut-rebut membeli dan membaca karya-karya popular ini. Menjadikan jualan karya popular melonjak. Walaupun tanpa kita sedari, menjunamkan graf jualan karya sastera pula. Ini merupakan suatu fenomena yang tiada sesiapa pun mampu menghalangnya. Minat manusia tidak boleh dihalang, walaupun kita masih mampu menukar atau mengubahnya. Biarlah mereka membeli dan membaca karya-karya popular ini, sekurang-kurangnya industri buku negara turut berkembang, sekali gus menaikkan pendapatan para penulis. Hanya itu, ayahanda sebagai rakyat biasa boleh katakan!

Bagi ayahanda, situasi ini suatu kejayaan penulis karya popular. Golongan ini mampu menarik minat pembaca kerana mereka menulis mengikut keperluan pembaca. Sekurang-kurangnya golongan penulis ini telah berjaya membantu mewujudkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Namun, ayahanda mengharapkan tema dan cerita yang ditulis ini biarlah pelbagai yang boleh menggugah fikiran khalayak. Gaya penulisan dan cerita yang dihidangkan oleh penulis-penulis karya popular ini usahlah terlalu stereotaip dan klise. Hanya terhad kepada cerita cinta yang memualkan sahaja. Ayahanda bimbang, lama-kelamaan pembaca akan menjauhkan diri, jika lima atau enam novel popular yang dibacanya itu menghidangkan cerita yang sama!

Golongan remaja dan akhir remaja pula nampaknya lebih berminat ke arah karya-karya indie. Ah, ini satu lagi cabaran kepada karya sastera perdana! Mereka menganggap karya sastera indie ini lebih dekat dengan diri mereka. Gaya penulisan dan cerita yang dihidangkan bersifat santai. Tidak perlu memeningkan kepala untuk memahami dan menikmatinya. Berbeza sama sekali dengan karya eksperimental. Malah agak berbeza dengan karya sastera perdana juga. Bagi golongan ini, membaca karya sastera tidak perlu membebankan otak. Memang benarlah, sesuai dengan kehidupan zaman serba maju dan serba pantas ini. Kita tidak perlu membuang terlalu banyak masa hanya untuk membaca karya sastera sahaja. Banyak bahan lain lagi yang perlu ditangani. Bahan bacaan berkaitan kerjaya, politik, ekonomi dan agama juga.

Berbalik kepada diri ayahanda sebagai penulis lama ini. Ayahanda sebenarnya telah menghasilkan berpuluh-puluh buah novel sepanjang lebih 30 tahun ayahanda menulis. Beratus-ratus cerpen eceran. Beribu-ribu sajak. Rencana pula tidak terhitung kerana ayahanda tidak mencatatnya. Mungkin beratus-ratus juga. Biarlah, bukan ada sesiapa pun yang ingin mengambil tahu. Hanya pelajar-pelajar sekolah yang ingin menyiapkan kerja sekolah sahaja yang sering bertanyakan soalan seperti itu. Dan mereka nampaknya kagum dengan kemampuan ayahanda berkarya. Namun, tidak pula mereka menjadikan ayahanda sebagai dorongan atau idola untuk mereka menceburi bidang penulisan ini. Ayahanda tahu benar hal ini, sebab tidak ada seorang pun pelajar sekolah yang ayahanda anggarkan sudah lebih lima puluh orang yang datang membuat kajian tentang diri ayahanda sebagai penulis ini yang berjaya menjadi penulis juga. Ah, biarlah! Mungkin mereka tidak berminat dengan bidang yang tidak menjanjikan pendapatan lumayan ini.

Sebagai penulis yang menyedari kepentingan berpersatuan, ayahanda dan beberapa orang rakan juga turut menganggotai persatuan penulis di tempat ayahanda. Sehinggalah ayahanda dilantik sebagai ketua. Ayahanda tidak pernah meletakkan jurang antara diri ayahanda dan ahli-ahli lain. Kami bersama-sama berbincang, berseminar dan berbengkel untuk meningkat mutu karya masing-masing. Pernah juga, kami berbual-bual tentang karya ini sambil menikmati nira nipah kegemaran ayahanda.

Malah, ayahanda sering dijemput menjadi penceramah atau mengendalikan bengkel penulisan kepada kalangan remaja terutamanya pelajar sekolah yang meminati bidang penulisan ini. Hubungan sesama kami begitu rapat. Semuanya ingin maju dalam bidang penulisan. Kami bagaikan satu keluarga, saling tegur menegur. Namun, panas tidak sampai ke petang. Hujan turun juga pada waktu tengah harinya. Persatuan yang kami tubuhkan itu bergolak. Dan ayahanda yang sudah lama memimpin persatuan ingin disingkirkan kerana dianggap terlalu mengongkong persatuan. Ayahanda dikatakan menjadikan persatuan sebagai hak milik peribadi ayahanda. Ayahanda terlalu sedih dan kecewa dengan tuduhan itu. Sememangnya ayahanda sangat sayangkan persatuan ini. Namun desakan daripada AJK yang ayahanda anggap sebagai kemaruk jawatan telah memaksa ayahanda melepaskan jawatan. AJK yang mendesak ayahanda melepaskan jawatan itu merupakan orang yang ayahanda sendiri membawanya masuk ke dalam persatuan. Ayahanda juga tidak kedekut mencurahkan ilmu kepengarangan kepadanya. Ini yang menyukarkan ayahanda untuk menilai hati budi manusia! Manusia yang bertopengkan bukan manusia, mungkin? Anehnya, pemimpin-pemimpin baharu ini tidak pula menulis atau berkarya. Tidak seperti ayahanda dahulu. Ayahanda memimpin dan terus berkarya. Kalau pemimpin sendiri tidak menulis atau berkarya, bagaimana ahli hendak berkarya atau menjadikan pemimpin mereka sebagai contoh atau idola? Bagi ayahanda, pemimpin persatuan penulis yang baik ialah pemimpin yang menunjukkan contoh untuk diteladani oleh orang bawahannya.

Anakanda!

Apakah yang akan berlaku kepada karya-karya ayahanda ini nanti, jika anakanda tidak lagi mempedulikannya? Ayahanda pasti anakanda mempunyai jawapan terbaik setelah berpuluh-puluh tahun ayahanda mempertahankannya.

Ayahanda berharap sangat agar karya sastera kita akan kekal sebagai warisan bangsa kita. Ayahanda tidak mahu, generasi nanti akan kehilangan sesuatu yang amat bernilai dan berharga. Sememangnya, kita sering merasai kehilangan sesuatu setelah ketiadaannya.

Sekian sahaja warkah buat anakanda daripada ayahanda.