“Kalau saudara mahu ke Menara Berkembar Petronas, saudara perlu menggunakan perkhidmatan teksi yang disediakan di sini. Saya sarankan begitu kerana jarak di antara tempat saudara berada sekarang ini jauh dari tempat tersebut.” Ujarku dengan penuh sopan.

Pemuda itu menggaru-garu kepalanya. Kemudian menganggukkan kepala seperti seekor burung belatuk. Dia seperti tidak memahami tutur bicaraku barangkali.

“Thank you Bro,” balas pemuda itu ringkas.

Aku hanya mengukirkan sebuah senyuman yang kukira menzahirkan perasaan terima kasih kembali kepadanya. Mataku masih meleret melihat telatah pemuda itu yang tenggelam dalam kelompok manusia yang pelbagai kerenah di situ. Melihatkan gaya berpakaian dan cara percakapannya menyebabkan aku menghamburkan nafas yang panjang. Meskipun pemuda itu berbangsa sama sepertiku dan berkulit sawo matang, tetapi nilai-nilai kemelayuan sudah semakin terhakis dalam setiap tindak-tanduknya.

Ah, generasi sekarang langsung tidak mahu menghormati budaya yang telah diperturunkan oleh nenek moyang masa dahulu. Bercakap pun disulami dengan kata-kata yang menyakitkan hati dan perasaan. Langsung tidak mahu berbahasa Melayu dengan baik. Kan lebih manis kalau dia memanggil aku dengan panggilan abang daripada memberikan aku gelaran ‘bro’. Kalau tidak kena gaya panggil mungkin boleh sahaja memanggil aku sebagai ‘beruk’. Aku bermonolog di dalam hati seperti menzahirkan rasa ketidakpuasanku.

Kegusaran di hatiku itu terbawa-bawa hingga sampai ke rumah. Ketika aku sedang menonton televisyen, tiba-tiba sahaja terpampang pesanan ringkas daripada rakan sepejabatku. Aku meneliti butiran pesanan itu sambil menggeleng-gelengkan kepala berulang kali.

“Zam, esok kau roger aku bila dah sampai pejabat. Jangan kau lupa plak.”

Bukan aku marahkan rakan sepejabatku dengan menghantar pesanan ringkas pada waktu malam. Yang aku marah dan kesalkan ialah penggunaan kata-kata yang tidak sesuai seolah-olah memperlekehkan kemampuan bahasa itu sendiri. Sudah acapkali aku menerangkan penggunaan ayat-ayat yang betul berdasarkan nahu dan istilah kepada rakan-rakan sepejabat tetapi mereka masih tetap menggunakan bahasa rojak yang terlalu sinonim dengan kehidupan seharian. Kata mereka, menggunakan bahasa rojak lebih mudah dan ringkas daripada menggunakan bahasa yang strukturnya panjang berjela-jela.

Aku menyandarkan tubuh di birai katil sambil termenung. Fikiranku menerawang di segenap ruang untuk mengingati tentang kepincangan bahasa yang berlaku di media sosial. Paling banyak kesalahan yang kutemukan itu datangnya daripada penggunaan bahasa pasar dan rojak yang akhirnya menjadikan bahasa Melayu itu lintang-pukang dan cacamarba. Pembacaanku tersentap apabila melihat kepincangan itu. Telingaku akan berdesing apabila mendengar ayat-ayat yang sudah diseleweng dan disogok dengan bahasa penjajah. Ternyata, meskipun negara sudah lama merdeka tetapi bahasa Melayu itu masih lagi dijajah oleh perkataan dan ayat yang tidak sepatutnya.

“Abang, kenapa tak tidur lagi?” soal isteriku yang curiga melihat perlakuan gelisahku.

“Entahlah...” aku membalasnya sambil mengeluh perlahan.

Keluhan

Kening isteriku berlaga-laga cuba mencari jawapan daripada keluhanku itu. Isteriku langsung tidak mengerti tentang apa yang sedang kufikirkan.

“Apa yang entah?” soal isteriku ingin tahu.

“Hmm... dunia sudah semakin berubah. Perubahan membawa kepada kemusnahan bahasa. Bukankah bahasa itu sebagai cerminan sesebuah bangsa? Kalau sudah hilang jati diri seseorang maka bahasa juga akan hilang kedaulatannya tanpa disedari. Di sana sini orang sibuk dengan bahasa pasar dan rojak. Langsung tidak ada nilai-nilai kesantunan untuk diperhalusi. Kalau bukan kita yang mengamal dan mempraktikkannya, siapa lagi?” aku meluahkan segala yang terbuku di dalam hati kepada isteriku.

Terbeliak biji mata isteriku apabila mendengar keluhanku itu. Barangkali dia memikirkan bahawa aku mempunyai masalah di pejabat. Namun, sangkaannya sama sekali meleset.

“Sebagai seorang Munsyi Dewan yang baharu dilantik, abanglah yang harus memperbetulkannya. Bukan mama ataupun orang lain,” pantas sahaja kata-kata isteriku itu yang akhirnya tidur tanpa mempedulikan aku.

Aku tergumam apabila mendengar kata-kata isteriku. Ya, semuanya ada kebenaran tanpa dapat aku sangkalkan. Apa gunanya gelaran Munysi Dewan jika aku tidak berani menegur dan membantu orang lain? Apalah gunanya ilmu jika tidak diamalkan? Ilmu yang tidak diamalkan akan samalah dengan pokok yang rendang tetapi tidak berbuah. Rendangnya hanya dapat dinikmati pada zahirnya tetapi pada lahiriahnya langsung tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.

Kemudian, perasaan gusar itu mendorong aku untuk menghasilkan sebuah blog yang kuberikan namanya ‘Wadah PajatSong’. Entahlah, aku sendiri tidak tahu dari mana terbitnya nama itu. Hanya yang terbit di benak fikiranku pada waktu itu ialah daerah kelahiranku Pajak Song yang terletak di Kepala Batas. Song itu sendiri bukanlah membawa maksud kepada lagu atau gubahan nyanyian. Yang aku tahu, wadah ini akan menjadi satu medan pertempuran antara bahasa yang harus diaplikasikan dengan struktur yang baik.

Kecintaan terhadap bahasa Melayu itu kulakar dan kulukiskan di kanvas pembicaraanku dalam blog Wadah PajatSong. Pelbagai maklumat mengenai istilah malah meliputi bidang-bidang morfologi serta sintaksis dikemukakan sebagai bahan rujukan. Aku mahu seluruh dunia mengetahui ketinggian peribadi sesebuah bangsa itu hasil daripada didikan dan cara berbahasa. Bahasa itu cerminan diri si penutur. Tanpa bahasa akan lenyaplah sesebuah bangsa.

Teringat aku tentang filem yang bertajuk Gurindam Jiwa lakonan seniman Nordin Ahmad dan seniwati Latifah Omar. Bahasa yang dituturkan terlalu indah dan disulami dengan bait-bait pantun yang kata-katanya bisa menggugat perasaan.

Tuai padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan;

Intai kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

Perkataan yang digunakan itu menimbulkan kesyahduan dan keasyikan apabila dihayati. Bait-bait pantun itu terlalu indah jika diperhalusi satu persatu. Rasa kasih dan rindu dirungkaikan secara sopan tanpa ada keterlanjurannya. Di sebalik kata-kata itu mencerminkan perasaan rindu yang teramat apabila berlakunya perpisahan. Hal inilah yang menjadikan bahasa itu indah untuk dikenang sehingga kini.

Tidak seperti sekarang yang bahasanya langsung tidak berlapik. Menyatakan perasaan rindu dan sayang secara terang-terangan. Tanpa segan dan silu. Memaksa generasi kini untuk melupakan budaya yang diwarisi oleh nenek moyang dahulu. Natijahnya, bahasa itu diperkosa dan ditelanjangi tanpa rasa simpati.

Kesemua dapatan dan rasa itu aku catatkan dalam blog Wadah PajatSong. Tidak ada satu pun yang tertinggal. Aku mahu generasi sekarang lebih menghargai bahasa. Aku mahu anak-anakku nanti boleh berbicara dengan bahasa yang lunak dan merdu. Yang paling penting aku mahu blog Wadah PajatSong ini menunjukkan jalan yang benar dan lurus kepada pengguna bahasa yang sudah terpesong daripada landasannya.

Lewat malam itu aku terus tekun menulis di dada blog. Blog hasil air tanganku ini sebagai medan pertempuran memerangi kebatilan kebahasaan.

Mataku masih lagi terasa segar dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mengantuk. Beberapa minit kemudian, aku mendengar nada ‘bit’ dari peti pesanan ringkas. Sengaja aku offline telefon bimbitku kerana aku tidak mahu menghadap kesalahan bahasa dan ejaan yang terlalu banyak pada layar skrin.

Kekeliruan

“Zam, terima kasih kerana membantu aku menyelesaikan kekeliruan penggunaan kata ‘adalah’ dan ‘ialah’. Sudah puas aku merujuk dan bertanyakan tentang perkara ini dengan rakan-rakan di sekolahku. Ternyata, blog Wadah PajatSong yang kau buat itu benar-benar membantu diriku.” – Ikhlas daripada Helmi rakan sekelasmu dulu.

Untuk kesekian kalinya aku terkedu membaca mesej itu. Baru tiga jam aku melayari internet dan membuat blog Wadah PajatSong tanpa kuduga ia sudah mendapat sambutan di luar sana. Kegilaanku terhadap bahasa membolehkan aku membantu insan lain menyelesaikan permasalahan daripada penggunaan bahasa yang tidak tepat. Aku mengukirkan senyuman kepuasan atas kejayaan malam itu.

Aku merebahkan diriku di sebelah isteriku. Dengkuran isteriku membuatkan mataku semakin mengantuk. Atas faktor kepenatan bekerja di pejabat, akhirnya aku tertidur juga.

Aku terkejut jaga apabila hari sudah menjelang subuh. Pada keheningan subuh itu, aku memanjatkan doa agar seluruh ahli keluargaku dirahmati Tuhan. Begitu juga dengan bahasa Melayu yang sentiasa bertakhta di hatiku. Aku mendoakan agar bahasa Melayu kecintaanku itu tidak akan terbiar begitu sahaja.

Pagi di pejabat masih sama seperti dahulu. Tiba-tiba aku dipanggil oleh PA Pengarah untuk masuk ke dalam bilik mesyuarat. Aku tidak mengerti. Hati dan perasaanku diserang dengan rasa gementar. Apa salahku? Ah, aku tidak ada menimbulkan sebarang masalah di pejabat. Atau mungkin blog yang aku ciptakan Wadah PajatSong itu menimbulkan perasaan kurang senang pada hati Pengarah atau orang lain? Tidak, tidak mungkin kerana aku tidak menyentuh sebarang sensitiviti insan lain. Wajahku sedikit pucat apabila ditenung lama oleh Pengarah. Aku seperti patung cendana duduk tercatuk kaku dan membungkam sepi.

“Encik Zam. Saya suka dengan tulisan blog anda. Saya mahu blog itu diteruskan penulisannya dari semasa ke semasa. Di samping itu, saya hendak semua kerani di bawah Encik Zam belajar menulis surat dengan menggunakan bahasa yang betul dan tepat. Usaha Encik Zam saya puji dan berharap agar jangan berhenti setakat ini sahaja. Saya juga seperti Encik Zam yang cintakan bahasa. Tetapi saya bukanlah ‘orang bahasa’ seperti Encik Zam. Oleh itu, saya mahu Encik Zam menjadi pakar rujuk kepada pegawai-pegawai di Kementerian ini.” Ujar Pengarah sambil tersenyum.

“Kadang-kadang, pantun saya pun tidak betul. Berterabur di sana sini. Kalau saya salah, tolong betulkan ya, Encik Zam.” Kata Pengarah tanpa segan silu.

Aku tersengih apabila mendengar kata-kata pengarah. Ah, siapalah aku untuk membetulkan kesalahan ketua tempatku bekerja. Kadang-kadang aku juga sama seperti orang lain yang buta dan pekak dengan bahasa sendiri. Aku sendiri bukanlah pandai untuk berkias dan berpantun. Semuanya aku ambil daripada kata-kata nenek moyangku dahulu. Kerana kecintaanku terhadap bahasa itu terlalu menebal, maka aku menyayangi bahasa Melayu itu sepenuhnya.

Namun, gema keluhan itu hanya aku dengari tanpa orang lain mendengarnya.

Aku menghembuskan nafas kelegaan apabila mendengar kata-kata pengarah itu. Baru sebentar tadi, nafasku turun naik memikirkan apa salahku tetapi kata pujian yang melambung tinggi pula yang telah kuterima. Aku meminta izin untuk melakukan tugasan seterusnya. Sepanjang hari itu, bibirku hanya mempamerkan senyuman yang menguntum.

Malamnya ketika isteriku telah larut dibuai mimpi, aku kembali bertandang di blog Wadah PajatSong. Aku dapati sudah ramai yang mengikuti blog hasil nukilanku itu. Ada antara mereka yang meninggalkan komen agar aku mengajari mereka cara menghasilkan pantun kerana kata mereka pantun ‘Gurindam Jiwa’ itu benar-benar terkesan di hati pembaca blog.

Untuk sekian kalinya, aku menitipkan sebuah pantun Melayu lama yang sering dinyanyikan oleh Datuk Siti Nurhaliza dalam blog Wadah PajatSong.

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga;

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

Cintaku terhadap bahasa tidak akan luntur. Ia seluas pasir di tepian pantai dan sebanyak bintang di langit.