Namun, istilah atau terma ‘sinema Cina’ boleh mengundang kepelbagaian maksud. Ia boleh merujuk sinema nasional bagi Republik Rakyat China, atau sinema yang mewakili masyarakat, budaya, dan bahasa kecinaan, termasuklah sinema Taiwan dan Hong Kong. Malah, ia boleh dikaitkan dengan sinema Sinophone yang melayarkan komuniti diaspora Cina (yang menggunakan pelbagai dan percampuran bahasa dan dialek) dengan filem-filem dihasilkan di luar tanah besar China seperti AS, Britain, Australia, Hong Kong, Singapura, dan Malaysia.

Di China umpamanya, usaha penteorian dan penelitian secara akademik terhadap sinema Cina mula menyemarak pada pertengahan 1980-an hingga ke pertengahan 1990-an. Ini adalah hasil usaha beberapa institusi pengajian tinggi (seperti Beijing Film Academy) yang mengundang tokoh-tokoh sarjana dan pengkritik filem dari Barat, seperti Nick Browne, Dudley Andrew, dan Tony Rayn untuk mengadakan syarahan, persidangan dan kerjasama akademik, berkenaan teori, kritikan dan kajian filem (dunia Anglo-Amerika). Justeru peringkat awalnya, beberapa sarjana tempatan seperti Chen Xihe dan Xu Zengmin cuba membaca sinema Cina melalui kerangka semiotik dengan membangunkan sistem semiotik Cina yang lengkap, dengan merujuk semiotik linguistik yang dipelopori Ferdinand de Saussure. Manakala Yao Xiaomeng pula cuba menggabung jalinkan teori kesusasteraan Cina kuno dengan teori Barat kontemporari.

Penghujung 1980-an pula menyaksikan kemunculan dua jurnal sinema utama, Contemporary Cinema dan Film Art di samping penganjuran beberapa seminar filem. Namun, perkembangan ini memperlihatkan permasalahan dan kesulitan, termasuk hala tuju sebenar penteorian filem Cina. Fasa seterusnya (pada awal 1990-an) menyaksikan perkembangan yang lebih matang terhadap penteorian filem, yakni sejajar dengan perkembangan dalam masyarakat di China. Kemuncak usaha ini adalah penerbitan buku Chinese Film Theory: A Guide to the New Era (1990) yang disunting George S. Semsel, Xia Hong dan Hou Jianping, dengan pelbagai fokus dan metodologi penelitian terhadap sinema Cina ketika era 1980-an. (yang kesemuanya diterjemahkan ke bahasa Inggeris). Penerbitan ini signifikan kerana menyaksikan anjakan pemikiran terhadap sinema di China, selain membantu melonjak naikkan para sutradara angkatan `Generasi Kelima’ China.

Kini, sinema Cina semakin mendapat perhatian akademik terutamanya dalam ranah akademik bahasa Inggeris dengan fokus utama para sarjana terhadap auteur (pengarah) dan gerakan perfileman. Ini termasuk tiga gerakan sekitar era 1980-an: ‘Generasi Kelima’ di tanah besar China (contohnya, Chen Kaige dan Zhang Yimou), Hong Kong New Wave (contohnya, Tsui Hark, Ann Hui dan Wong Kar-wai), dan, sinema Taiwan baharu (contohnya, Hou Hsiao-hsien, Edward Yang dan Tsai Ming-liang). Selain itu, wacana dan perbahasan tentang isu spesifik budaya turut mengambil tempat; contohnya, sejauh mana kerangka fikir, nilai dan intipati ‘kecinaan’ membaluti filem-filem sentuhan auteur tertentu seperti Zhang Yimou dan Hou Hsiao-hsien, memandangkan karya sinema tidak akan terlepas daripada pengaruh luar – seperti yang dihujah balas pula pihak lain?

Perbahasan dan polemik utama berkisar kepada konsep ‘nasional’ dan ‘transnasional’ – kerana sebahagian besar filem-filem berbahasa Cina (China, Taiwan dan Hong Kong) tampil problematik dari segi status ‘nasional’ kerana melibatkan penglobalisasian dan mobiliti aspek produksi, pengedaran dan konsumsi yang merentas sempadan dan ruang geopolitik. Beberapa sarjana seperti Sheldon Lu (1997) – dalam antologi suntingannya – antara yang terawal mencadangkan bahawa penelitian sinema Cina secara nasional harus diteliti dalam kerangka kajian bersifat ‘transnasional’.

Selain itu, wacana dan penelitian terhadap sinema Cina telah menyaksikan beberapa perbahasan dan polemik untuk menggelarkan sinema ini sebagai ‘sinema berbahasa Cina’. Namun, hal ini tidak semudah yang disangka kerana bukan sahaja kompleksiti dan kerencaman secara linguistiknya, tetapi juga daerah, etnik, dan nasionalnya. Malah, kini sudah ada filem-filem dari Taiwan, Hong Kong dan tanah besar China yang menggunakan dialog bahasa Inggeris yang agak ekstensif.

Chris Berry dan Laikwan Pang (2010) pula menghujahkan perlunya pemahaman terhadap sinema Cina yang diposisikan dalam konteks sinema global. Ini antara lain disebabkan industri-industri filem kecinaan ini telah melalui – dalam beberapa dekad – penstrukturan semula yang dramatik. Mereka menghujah lagi yang istilah atau konsep ‘sinema Cina’ boleh terus digunakan tetapi bukan sesuatu yang bersifat tunggal, monolitik (seperti konsep ‘sinema nasional’ difahami). Tetapi sinema Cina perlu difahami dan diteliti secara lebih luwes, cair, rencam dan terbuka yang melibatkan perkaitan dan keterlibatan yang dinamik dengan sinema global.

Penerbitan ilmiah terhadap sinema Cina dalam bahasa Inggeris juga memperlihatkan peningkatan drastik. Ini termasuklah kelahiran sebuah jurnal akademik, Journal of Chinese Cinemas (bermula tahun 2006). Penerbitan lain termasuklah buku seperti Cinema Approaching Reality: Locating Chinese Film Theory (2015) oleh Victor Fan, yang membahaskan persoalan sinema dan realisme dengan menggabungkan penteorian filem Cina dan Barat. Tidak kurang juga beberapa antologi terhadap sinema Cina, antara yang terkini adalah Chinese Cinemas: International Perspectives (2016) yang disunting Felicia Chan dan Andy Willis, meneliti impak perkembangan pesat amalan perfileman di tanah besar China, terhadap sinema Cina di dalam dan luar China.

Selain itu, status ‘sinema Cina’ sebagai sinema transnasional terus dibahaskan, seperti dalam antologi Transnational Chinese Cinema: Corporeality, Desire and Ethics (2015) suntingan bersama Brian Bergen-Aurand, Mary Mazzilli, dan Hee Wai-Siam, menerokai filem-filem Cina sebagai pengalaman fenomenologi dengan menerokai aspek jasadi, psikologi dan afektif berkaitan dengan penjasadan (embodiment) dalam filem.