Namaku sastera. Usah ditanya kenapa namaku sebegitu. Tidak, aku bukan perlambangan. Aku juga seperti mana-mana individu yang terperangkap dalam perlumbaan tikus-tikus kota. Tidak mampu mengubah nasib dengan usaha keras. Terhimpit dan terus terhimpit walau apa jua yang berubah di luar sana.

Dengar ceritanya langit lebih cerah baru-baru ini. Udara juga lebih segar. Aku mencari-cari juga sudut mana yang dikatakan cerah dan segar itu. Aku hanya menikmati suatu panorama yang sama seperti dahulu. Kesesakan dan keterdesakan adalah lagu bandar raya ini sejak sekian lamanya.

Itu realiti.

Di sini, aku seperti tikus-tikus lain sedang mengemudi kenderaanku menembusi jalan yang berkeluk-keluk. Penuh dengan kenderaan. Penuh dengan kelesuan pengguna-penggunanya. Telefon berbunyi sekali-sekala. Tapi tidak diendahkan. Aku tidak rasa mahu memeriksa telefon bimbit itu kerana ia bukan hal penting. Jika mereka mahu hubungi aku, ia patut melalui panggilan dan bukannya pesanan ringkas WhatsApp.

Setiap hari, aku harus turun ke pejabat untuk memeriksa sejumlah besar dokumen dan iklan-iklan yang bakal ditampal di tempat yang mudah dilihat orang umum. Surat-surat rasmi. Surat-surat tidak rasmi. Tatabahasanya dan juga pemilihan katanya harus diperbetulkan.

Semakin hari kerjanya semakin teruk. Semakin ramai yang tidak tahu mengeja dengan betul. Ada yang diterjemah secara literal. Ia jadi semakin teruk apabila rakan-rakan sepejabatku mula bercakap dalam bahasa yang bercampur-aduk. Mereka tidak mahir berbahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu. Segala-galanya berbaur macam lauk lebihan dalam tong sampah. Nanar juga telinga mendengarnya.

Suatu hari, aku menghantar surat berhenti kerja pada majikanku. Dia terkejut kerana aku tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda mahu berhenti. Aku jaga benar-benar kualiti kerjaku seperti biasa.

Sambil tersenyum, aku meletakkan surat berhenti kerja itu di mejanya.

“Tiada tempat untuk sastera di pejabat ini,” kataku.

Dia memikirkan kata-kataku sebelum mengangguk faham. Dia menerima permintaanku untuk berhenti kerja tersebut.

2.

Kebisingan rumah ini apabila ahli keluarga berkumpul tidak pernah selesai. Mereka bertelingkah menegakkan ego masing-masing untuk hal-hal remeh-temeh. Mereka bergaduh hal politik, hal ehwal agama sehinggalah pemilihan warna baju sedondon untuk hari raya.

Namaku sastera. Aku memilih untuk terus berkecuali. Kalau masuk campur mungkin aku akan dipukul dan ditempelak. Aku baru saja berhenti kerja dan menganggur hampir tiga bulan. Ada ura-ura daripada keluarga untuk mengusirku. Tapi aku berkeras mahu menetap di rumah ini juga.

Sepertimana mereka yang lain menggunakan keegoan mereka, aku juga menggunakan keegoanku. Cuma aku tidak melibatkan diri dalam pertengkaran seharian yang sudah jadi rutin itu. Aku memilih untuk mendengar bacaan al-Quran apabila mereka bertelingkah. Tindakanku untuk terus berkecuali itu menjengkelkan mereka, tetapi aku tidak peduli tempelak mereka.Masyarakat tidak perlukan aku. Keluarga ini juga tidak perlukan aku.

Aku diminta untuk menyebelahi mana-mana pihak apabila ada pertengkaran. Aku pasang surah Yassin untuk diperdengarkan. Kadangkala aku pasang surah al-Ikhlas. Tidak pun aku pasang surah al-Baqarah. Sekurang-kurangnya mereka tahu untuk mendiamkan diri apabila diperdengarkan ayat-ayat suci itu. Apabila tamat sahaja pembacaan, mereka seperti terjaga daripada lena lalu bertengkar lagi.

Suatu hari, ibuku memanggilku ke bilik kelamin ibu bapaku. Katanya dia mahu berbincang. Aku bersetuju tanpa soal. Resah jugalah dibuatnya. Sebaik-baik sahaja pintu ditutup, ibu membuka tingkap seluas-luasnya. Udara panas masuk dibawa angin. Seolah-olah mengisyaratkan bahawa perbualan ini nanti berbaur panas. Ada orang akan rentung dan besar kemungkinan aku akan dibakar kata-kata ibu hari ini.

Bila kau nak cari kerja baharu? Tanya ibu. Aku sudah mula gelisah. Mana ada tempat untuk sastera beroleh pekerjaan waktu ini. Setiap orang selesa dengan bahasa yang bercampur-aduk.

Asalkan mesej sampai, itu kira bagus. Aku ceritakan situasi itu kepada ibu. Wajahnya sugul penuh simpati. Ayah tak nak tengok kau menganggur, kau kena cari kerja selewat-lewatnya bulan depan, ujar ibu. Aku sudah buntu. Apa yang aku boleh jual lagi? Maruahku sendiri tidak berharga jika diperdagangkan. Kewujudan aku juga sudah dilupakan sama sekali.

Sekarang ini tidak perlu surat sokongan menteri untuk dapat projek, itu memudahkan, jelas ibu. Aku sudah tahu maksudnya di sini. Namun apalah maknanya? Setakat ini, tiada tanda-tanda rakyat mahu menjadikan budaya membaca itu selaku budaya mereka.

Kataku, tiada projek untuk sastera setakat ini. Ibu mengangguk tanda mengerti. Lalu dia memintaku agar pergi ke Menara Ilham di tengah kota. Aku cuba meyakinkan ibu bahawa aku bukan sesiapa. Tiada siapa mahu membina jati dirinya lagi. Negara sedang diancam masalah ekonomi yang parah.

Semua orang sukar untuk mencari sesuap nasi untuk mengisi perut. Khidmat ayat yang bagus mahupun jati diri yang kukuh tidak akan menyelamatkan hari-hari esok. Makanan yang enak dan juga rumah yang selesa bakal menyelamatkan kita. Hanya itu.

Lalu ibu menyuruhku agar menukar bidang pekerjaanku. Usah bekerja dalam bidang sastera, jadilah tukang masak di restoran, katanya lagi. Lagipun dengar ceritanya tukang masak warga asing sudah tidak dibenarkan bekerja dalam negara. Alangkah sugul aku mendengarnya.

Kalaulah ibu tahu betapa sukar sebuah teks kesusasteraan itu mahu dinikmati seperti sepinggan spageti bolognese, alangkah bagus.

Tidak mengapalah, ibu, kataku. Esok hari saya berkemas. Saya akan keluar dari rumah ini kerana saya tidak rasa membantu apa-apa dari segi ekonomi. Benar, ibu sedih. Namun aku memujuknya lagi bahawa aku akan datang melawat dari semasa ke semasa. Tidurku tidak jauh, hanya di bawah jambatan atau kaki lima berhampiran.

Ibu berasa lega mendengar kata-kataku itu. Tanpa diketahuinya situasi tidak semudah itu.

3.

Meringkuk di bawah jambatan, berselimutkan kertas-kertas surat khabar dan berlapikkan batu-bata selaku bantal memang tidak selesa. Tempias hujan petang tadi masih melembabkan lantai simen yang berlekuk-lekuk dan berlumut. Malam itu, aku sesekali mengerling ke tebingan sungai dengan harapan airnya tidak naik mendadak bila aku tidur nanti.

Sesekali aku membaca surat khabar yang ditinggalkan di bangku-bangku atau meja-meja kedai makan berhampiran. Terlalu banyak permintaan rakyat mahu dikotakan.

Ada yang meminta benda bukan-bukan. Tapi diturut sahaja. Aku mencari-cari ruangan sastera. Mujurlah masih ada sekali-sekala. Ada juga hari-harinya tiada ruang sastera. Iklan-iklan pengucapan tahniah sempena perlantikan ahli politik ke jawatan-jawatan penting memenuhi ruang.

Masih tiada kedengaran suara-suara ahli politik memperjuangkan sastera. Dasar baharu untuk mengangkat darjat bahasa Melayu ke tahap selanjutnya masih tidak diumumkan. Aku fikir, aku akan mati jika menanti. Cadangan ibu sebelum ini agar aku menukar bidangku seperti menjadi tukang masak itu kembali berlegar dalam benak. Mungkin aku patut fikir secara rasional. Ikut kehendak sistem dan jadi sebahagian daripada perjuangan materialistik.

Kedengaran bunyi derap kaki di kejauhan. Ia mendekati tanpa kelihatan susuk tubuhnya. Bayangnya juga tidak kelihatan. Derap kakinya agak laju. Bukan manusia, pastinya. Adakah anjing liar? Aku berdebar menunggunya.

Aku agak kelaparan beberapa hari ini. Restoran-restoran yang aku datangi tidak menerima puisi selaku bayaran. Biarpun aku berjanji mahu meninggalkan novel selaku cagaran, mereka menolaknya. Apatah lagi cerpen. Sekurang-kurangnya, kata mereka, tinggalkan buku autobiografi Robert Kuok. Jika tidak pun kata-kata hikmah Jack Ma.

Untuk majalah pula, haruslah berteraskan bisnes ataupun cara-cara menjadi kaya. Itu pun katanya tak memadai untuk ditukar ganti dengan sepinggan nasi kosong.

Kata mereka, orang bernama sastera tidak perlu makan, memadailah sekadar menghirup angin. Aku tidak mampu berdebat dengan mereka. Terlalu letih untuk itu.

Kelibat anjing-anjing liar mula kelihatan. Seekor demi seekor. Aku menghitungnya tapi gagal. Segerombolan merengus mahu menerkam. Mungkin aku sudah merampas kawasan mereka. Apa yang boleh aku gadaikan pada mereka ini? Tiada ayat-ayat puitis mampu difahami anjing-anjing ini.

Terkial-kial aku bangun mahu berundur. Nampak gayanya ia tidak semudah itu. Tujuan mereka datang ke mari bukanlah mahu menghalauku. Ada niat bunuh bersipongang dalam kepekatan malam. Mungkin malaikat maut sedang mengintip gerakku persis burung hering menunggu bangkai.

Anjing-anjing liar muncul dari setiap penjuru. Air liur mereka berjejeran. Gigi-gigi tajam sesekali terserlah dengan setiap salakan garang. Mengapa mereka mahu membunuhku? Adakah aku sudah melakukan kesalahan dengan mendiami jambatan ini? Tidak cukupkah dunia membunuh personalitiku?

Namaku sastera, dibuang keluarga dan merempat di bawah jambatan. Tidak lama lagi akan ditokak anjing-anjing liar atas sebab yang tidak diketahui. Aku tidak tahu apa lagi yang patut aku lakukan selain daripada berlari selaju mungkin.

Aku nampak bukaan, yakni ke dalam sungai yang hitam pekat airnya dan sebusuk dosa manusia baunya. Tanpa berlengah, aku terjun ke dalam sungai itu.

4.

Kehilangan setiap benda berharga dan keperluan buat manusia tidak lagi menjadi hal besar bagiku. Aku sudah terselamat daripada serangan anjing-anjing liar. Mungkin aku boleh saja hidup selaku bayang-bayang dalam masyarakat seperti ini, tidak dianggap wujud sama sekali. Ia bukan masalah besar juga. Tiada tabung kewangan perlu dibuat untuk menyelamatkanku.

Aku bangkit dari tebingan sungai dalam keadaan tubuhku begitu lemah tidak bermaya. Kelihatan jambatan demi jambatan merentasi sungai bertebing konkrit dipenuhi manusia yang pantas benar gerak kakinya. Mereka mengejar masa tanpa menoleh sesama sendiri.

Ibarat robot yang diprogram. Pakaian dan barangan yang mereka pakai pula berjenama mahal. Namun tiada roh dalam mata mereka, hanya cahaya suram.

Siapa lagi yang lebih hidup di sini, aku tidak tahu. Aku tidak akan mati, tetapi sentiasa lesu. Perutku berbunyi tetapi tidak mungkin dapat diisi. Tiada jalan untukku kembali kepada ahli keluargaku dan tiada orang mencariku lagi.

Mungkin ibu sudah dapat pengganti anaknya yang rajin menambah harta kekayaan dan menghadiahkan barangan berharga seperti tas tangan dan juga gelang emas sewaktu sambutan hari kelahiran.

Aku mendongak. Matahari begitu terik. Aku persis halimunan di kota ini, barangkali juga di mana-mana ceruk negara ini.

Namaku sastera, mungkin tiada rekod orang sepertiku dalam Jabatan Pendaftaran Negara pada waktu ini. Ia tidak penting. Tidak pernah penting sama sekali.