Wasiq kerja makan gaji sebagai operator pengeluaran. Sekadar itu sahaja yang dia mampu dengan sijil SPM demi menyara kehidupan. Berbanding dengan Sya yang mempunyai ijazah. Sya ada kerja tetap, namun setelah dia membuat keputusan untuk membuka perniagaan sendiri maka dia berhenti dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

Mereka berkahwin muda. Sewaktu mereka berkahwin pun, umur mereka sekitar 20 tahun. Usia perkahwinan mereka baru menjangkau tiga tahun, namun kemewahan yang mereka kecapi seolah-olah sudah 20 tahun mereka berkahwin. Lihat saja dekorasi rumah mereka, dihiasi dengan perabot mahal yang diimport dan juga hiasan potret watak-watak dari filem Harry Potter. Semua itu atas permintaan Sya yang dituruti oleh Wasiq.

Wasiq tidak peduli tentang kemewahan. Apa yang Sya mahukan, itulah yang diturutinya. Makan di tempat mewah, menonton wayang, bercuti di pulau peranginan dan lain-lain lagi kehidupan seperti orang kaya. Asalkan Sya puas, itu sudah cukup. Dia sanggup bekerja lebih masa demi memenuhi kehendak isteri kesayangannya. Hati Wasiq hanya untuk Sya sahaja dan begitulah sebaliknya. Itu yang Wasiq percaya.

Sya seorang isteri yang baik. Dulu dia rajin, sekarang tidak lagi. Sejak ada telefon pintar, dia tidak pernah berenggang dengan telefonnya walaupun sekejap. Apabila ditanya mengapa Sya berkelakuan sedemikian, jawapannya hanya ringkas.

“Sya tengah layan pelanggan ni, bang.” ayat ringkas yang meyakinkan hati Wasiq tanpa perlu banyak soal bicara. Kadangkala terlihat juga Sya senyum seorang diri. Pastinya jualan masuk yang banyak membuatkan senyuman isterinya itu sampai ke telinga. Sya gembira, Wasiq pun gembira.

Baru-baru ini Wasiq membelikan hadiah sempena ulang tahun perkahwinan mereka. Sya tidak membuka hadiah tersebut, jenguk pun tidak. Wasiq yang kehairanan optimis. Pastinya Sya terlampau penat sehinggakan dia tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melihat hadiah yang dibelikan oleh Wasiq. Tidak apalah, asalkan dia tahu yang Sya sentiasa menyayanginya.

Seperti hari-hari biasa, Wasiq bekerja lebih masa. Dia pulang agak lewat pada malam ini kerana hujan lebat. Meskipun begitu, dia tetap meredah hujan dengan motosikal cabuknya demi memastikan Sya tidak risau. Ini adalah tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga. Nafkah zahir perlu dijaga bersama nafkah batin. Tiba sahaja di rumah, Wasiq masuk ke dalam dalam keadaan basah kuyup.

“Maaf Sya, malam ni abang kena kerja lebih masa.”

“Selalu sangat abang balik lewat. Abang ada perempuan lain ke apa?”

“Eh, apa pula cakap macam tu...”

“Tengok hantaran Facebook ni, katanya lelaki yang selalu balik lewat dah tentu curang!” Sya meninggikan suara. Wasiq memejamkan matanya kerana tidak sanggup melihat wajah isterinya yang sedang marah.

“Kenapa awak diam? Maknanya abang memang curanglah ni?” pertanyaan yang semakin deras tidak dijawab Wasiq. Lantas dia memeluk isterinya dengan erat.

“Abang janji tak akan buat Sya risau lagi.” Pelukan Wasiq ditolak oleh Sya. Wasiq terkesima tidak menyangka tindakan tersebut. Jeda berpanjangan sebelum Sya memegang telefonnya erat dan masuk ke dalam bilik. Pintu dikunci.

Mungkin Sya datang bulan, fikir Wasiq. Dia tetap berfikiran optimis. Syak wasangka mula timbul dalam hatinya. Sejak dua menjak ini, Sya semakin mengelak dengan dirinya. Fikirannya tepu. Pasti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Sya. Anehnya lagi apabila Sya semakin kerap meminta izin untuk keluar mengambil stok barangan perniagaannya. Boleh sahaja jika barangan tersebut dipos terus ke rumah.

Malam itu, Wasiq berserah segalanya kepada Allah. Dia mengerjakan solat sunat hajat. Segala pengharapannya sebagai makhluk yang kerdil diserahkan kepada Tuhan sekalian alam. Selesai solat, Wasiq berdoa dengan air matanya yang bergenang. Memohon supaya kebenaran terungkai. Hanya suara Wasiq sahaja kedengaran membaca doa pada malam yang sunyi itu.

Keesokan malamnya, Sya meminta izin daripada Wasiq untuk mengambil stok barangan. Dia yang berasa tidak sedap hati enggan memberi izin kepada Sya. Rayuan Sya ditolak berkali-kali dan akhirnya syarat diberikan. Wasiq perlu menemani Sya. Biarlah hari ini dia yang memandu. Dia tidak mahu lihat isterinya penat.

Hujan lebat pada malam itu. Pendikit minyak ditekan kuat oleh Wasiq. Kabus yang tebal menyukarkan pemanduannya. Tambah lagi lampu keretanya agak malap. Sesekali mata Wasiq menjeling ke arah Sya yang tersengih-sengih melihat skrin telefon. Sya benar-benar gembira. Entah mengapa hati Wasiq agak tidak tenteram ketika itu. Doa dibaca perlahan-lahan. Wasiq melepas nafas perlahan.

Hampir sejam Wasiq memandu. Dia menguap perlahan sambil melihat Sya. Mata Sya menahan kantuk. Telefonnya diletakkan di atas dashboard kereta. Pandangan Wasiq difokuskan kembali terhadap pemanduannya.

“Sya tidurlah dulu. Tali pinggang keledar tu jangan lupa pakai.”

“Tahulah saya!” bentak Sya. Kepalanya disandarkan pada pintu kereta.

Wasiq menghela nafas panjang. Semakin lama dia memandu, semakin lama jantungnya berdegup kencang. Kilat sabung menyabung. Tiba-tiba ada sebuah lori yang hampir melanggarnya. Stereng dipulas dengan pantas. Mujurlah dia sempat mengelak, jika tidak sudah tentu dia akan menerima akibatnya.

“Apalah agaknya nak jadi ni?” monolog Wasiq bersendirian. Dia teringat peristiwa siang tadi, Sya terkinja-kinja di hadapan telefonnya. Menurut Sya, aplikasi WeChat, Tik Tok dan Smule digunakan untuk tujuan pemasaran. Wasiq buta sedikit bab-bab media sosial ini. Tapi dia percaya pada Sya walau apa pun yang terjadi. Telefon bimbit Sya juga tidak pernah disentuh langsung. Kepercayaan itu amat penting dalam sebuah rumah tangga. Tanpa kepercayaan yang kukuh, sesebuah rumah tangga pasti akan musnah sama sekali.

Sedang Wasiq mengelamun, pintu kereta sebelah kirinya tiba-tiba terbuka. Sya yang sedang tidur bersandar terjatuh di atas jalan raya dan kepalanya terhentak kuat di atas jalan tar. Bunyi hentakan kepalanya bertemu jalan tar jelas didengari oleh Wasiq. Darah berhambur merah pekat menyimbah jalan raya. Brek ditekan kuat. Kereta diberhentikan, lantas Wasiq berlari menuju ke arah isterinya.

“Sya!” lutut Wasiq menggigil melihat keadaan Sya yang ngeri itu. Jari Sya bergerak-gerak. Terdengar sayup-sayup suara Sya meminta tolong. Telefon dikeluarkan dari poket Wasiq. Ditekan-tekan telefonnya itu, namun malang sekali telefonnya tidak menyala. Dia kembali ke kereta lalu mengambil telefon bimbit Sya di atas dashboard. Pertama kali dia menyentuh telefon bimbit Sya.

Nombor 999 didail pantas. Namun tiba-tiba talian dimatikan. Satu mesej WhatsApp masuk. Tertera nama ‘Mokhtar’ dengan mesej yang benar-benar menggugurkan jantungnya.

“Tak sabar nak jumpa sayang. Sya yang awak.”

Dia kembali ke arah Sya yang sedang terbaring kesakitan. Air mata Sya mengalir. Wasiq berdiri di hadapan Sya.

“Sya... yang curang.”

Telinga Sya mendengar dengan jelas ayat Wasiq, ‘sayang curang’. Matanya perlahan-lahan terkatup sambil diperhatikan oleh Wasiq yang baring di sebelah Sya sambil menangis. Seribu penyesalan dirasakan kerana selama ini Wasiq adalah seorang lelaki yang dayus. Hujan membasahi mereka berdua bersama darah merah yang tidak henti mengalir dari luka Sya. Cinta yang dibina dengan kasih sayang dikhianati.