sungai musim tengkujuh
bermula dengan gerimis
tuangan hujan lebat
mencurah-curah
satu luahan atau catatan dalam hantaran
memercik komen dan ulasan
kadang merapu 
kadang mengampu
hinggakan ada yang naik amuk
meradang tak tentu arah

semakin lebat hujan
menanggalkan kotor mengalirkan lumpur
membawa bersama keladak hitam
air sungai melimpah ke tebing
singgah bergenang di aspal
seperti kisah yang direka
ditokok tambah menyedap rasa
lalu dikongsi berjuta warganya
merebak-merebak menjadi histeria
yang dibicarakan bak penemuan baru formula sains

susur masaku setiap hari
adalah sungai musim tengkujuh
sentiasa banjir dengan kisah dan cerita
penapis fikirku adalah empangan yang retak menanti pecah

Abdullah Hussaini Mohd Ghazali
Jerantut, Pahang