Pagi masih terlalu awal, Gambang masih berdengkur dibaluti embun. Sengaja aku keluar sebelum subuh, membelah kesunyian Kuala Lumpur supaya mudah menikmati subuh lengang Lebuhraya Pantai Timur.

Subuh lengang itu kini dilipat kemas dalam surat-surat itu. Mungkin, apabila ia tiba di tangan yang dikirim, ada kedamaian menyulam perasaan. Sebelum kedamaian itu ditampar kesakitan realiti. Hilang kerja sewaktu ekonomi kurang sihat baik memang petaka.

Semalam, aku masih tercatuk di kerusi pejabat sesudah mesyuarat tergempar selesai. Aku mendengar luahan perasaan Maryam bertele-tele. Wanita itu, biasanya bersembang hal-hal kecil. Kali ini, setiap seorang daripada kami dalam keadaan terancam. Isu penamatan perkhidmatan. Rombakan besar-besaran di mana beberapa unit akan dikecilkan.

Penamatan projek-projek pembinaan sedang dilaksanakan. Nah, takdir aku turut terlipat sama di dalam surat-surat yang bakal diletakkan di pejabat cawangan bertempat di Gambang. Mereka di sana pasti sudah akur dan belajar menerima nasib mereka. Namun, mampukah aku menghulurkan surat-surat itu kepada mereka dengan wajah tenang nanti?

Maryam, sudah tiada semangat mahu meneruskan kerjanya yang bertimbunan. Rata-ratanya rakan sepejabat duduk terperuk di kerusi masing-masing, mengenangkan karier yang sudah terumbang-ambing.

Selama ini, kerja ini, stabil saja, biarpun kenaikan gaji bergantung pada kemampuan pekerja itu menunjukkan betapa pentingnya peranan masing-masing pada majikan. Ada yang selesa dengan gaji bulanan yang statik saban tahun. Kini, perubahan kerajaan baharu dijadikan alasan. Kontrak-kontrak yang diperolehi melalui permainan politik menjadi belati yang mencederakan kembali pemain-pemainnya.

“Ah, bos tak apalah. Tutup kompeni ini, buka kompeni baharu.”

Ketika itu, rata-rata heboh membicarakan isu pemberhentian kerja dan pampasan yang dilihat tidak setimpal itu. Hendak diadukan ke jabatan buruh, ramai tak sanggup. Tambahan pula mereka tahu, mencari pasal dengan orang yang berduit ini sia-sia sahaja.

Sudahnya yang menang adalah mereka yang lebih punya kuasa dan wang. Apa yang tidak mampu dibeli dengan wang? Lagi elok fikir kerja-kerja sampingan yang boleh dibuat.

Macam aku. Selama ini aku sendiri tidak pernah yakin untuk bergantung dengan kerja nan satu ini. Selagi boleh ceburkan diri dalam mana-mana kerja yang fleksibel, memang aku libatkan diri.

Setiap kali hari Jumaat, aku akan mengirimkan barangan-barangan tempahan yang aku perolehi daripada pembeli-pembeli melalui media sosial dan juga whatsapp. Cukup masa nanti, aku akan beralih kerja. Takkan selama-lamanya mahu makan gaji bukan?

Aku memerhatikan kawasan sekitar hentian sebelah Gambang ini yang masih berkabus. Aku keluar dari rumah terlalu awal, sebelum subuh. Aku sempat menunaikan solat Subuh di hentian sebelah Lanchang sebelum itu.

Ada kesunyian dalam surau kecil itu yang masih berbekas dalam hati. Kesunyian yang berganda rasanya tatkala mengucup dahi anakku yang masih tidur ketika aku keluar dari rumah. Tak pernah aku rasa sesunyi ini sesudah berkeluarga. Ada sesuatu yang bakal hilang dari hidup dan ia bukannya hal pekerjaan itu.

2.

Maryam sedang mengemaskan pasu-pasu bunga yang diletak di tepi tingkap. Pejabat ini sudah begitu lama kami duduki, hinggakan ia ibarat rumah kedua kami. Pastinya hati Maryam berat mahu meninggalkan pejabat.

Aku juga begitu. Tetapi aku cuba untuk tidak bersentimental. Tiada apa yang kekal di dunia ini. Kerjaya stabil itu hanya kenangan. Di bawah kerajaan baharu, terlalu banyak kemungkinan.

“Nak bawa balik tapi banyak sangat,” gerutu Maryam.

“Bagi aku sajalah. Nanti aku jaga elok-elok,” ujarku.

“Eh, mahal semua ni. Mana boleh bagi. Belilah kalau nak.”

“Letak dalam kereta akulah, nanti aku tolong hantar ke rumah.”

Sebulan tempoh diberi dan sudah berduyun-duyun permohonan kerja aku hantar melata ke seluruh Malaysia. Nasibku tidak begitu baik. Dengarnya ada beberapa buah konglomerat telah menamatkan ribuan pekerja-pekerjanya.

Maka, apa peluang yang terhidang buatku dalam bidang ini? Aku sedang memikirkan perusahaan yang boleh dilakukan lantas terus membawaku keluar daripada bidang pembinaan yang sudah tepu ini.

Kami menuruni lif dengan pasu di tangan masing-masing. Sebelum lif tiba ke tingkat terbawah, Tuan Khalid masuk ke dalam lif dengan wajah sugul. Matanya cengkung. Tampak benar kesihatannya terjejas baru-baru ini.

Dengar ceritanya, kontraktor utama yang memberikan projek-projek mega kepada kami telah diserbu Badan Pencegah Rasuah.

Kecoh dokumen-dokumen dihapuskan. Ada yang disorok. Ada yang diberhentikan kerja dengan notis 24 jam. Aku tidak tahu adakah mahu bersimpati ataupun bersyukur.

Bersimpati kepada pemain-pemain industri pembinaan yang tidak pernah dapat lari daripada cengkaman budaya rasuah. Bersyukur kerana tidak lama lagi akan diberhentikan kerja dan mengakhiri hubunganku dengan pekerjaan yang sudah tiada lagi kemurniannya ini.

Tuan Khalid menundukkan pandangannya, seolah-olah tidak sanggup menatap wajah kami.

Mungkin rasa bersalah yang menebal telah membuatkannya bisu setiap kali berdepan dengan kami. Aku sendiri mengerti ramai di antara kami yang masih belum lagi beroleh kerja baharu.

Syarikat-syarikat pembinaan yang masih ligat beroperasi rata-ratanya syarikat antarabangsa.

Memerlukan pekerja yang mahir berbahasa Mandarin. Fikirku, elok juga diserahkan sahaja industri pembinaan pada syarikat-syarikat luar.

Sekurang-kurangnya, mereka tidak terikat sepertimana syarikat-syarikat tempatan yang dicengkam permainan politik dangkal tidak sudah-sudah.

“Mesti dia rasa bersalah kan?” tanya Maryam sebaik sahaja kami tiba di tempat parkir.

“Kenapa pulak?”

“Sebab berhentikan kita begitu je.”

“Notis sebulan okay. Bukan buang kita begitu je.”

“Samalah tu. Dulu kata ada notis tiga bulan untuk staf yang dah kerja lebih daripada tiga

tahun. Sekarang, gitu je dia buang kita.”

“Apa boleh buat. Kerja dengan swasta. Hadap sajalah.”

“Kita ada Jabatan Buruh. Mana boleh suka hati saja buang kita.”

“Mana ada dia buang kita suka hati. Bukan beri notis 24 jam, okay? Lagipun kau ada tengok muka bos tadi? Buntu habis tu. Pecah kepala agaknya memikir pampasan. Pembatalan projek-projek lagi. Risiko kena serbu SPRM lagi. Jangan selfish sangatlah. Fikir orang lain juga.”

Selesai meletak pasu-pasu ke dalam ruang penyimpanan di belakang kereta, kami berjalan kembali ke bangunan pejabat, sebelum terhenti apabila mendengar bunyi hentakan kuat.

Ada sesuatu menimpa kereta yang diparkir betul-betul di bawah bangunan. Kami bergegas ke kawasan itu, berpandukan bunyi penggera kereta yang begitu bingit.

Heboh. Pantas sahaja orang ramai berkerumunan seperti lalat menghurungi bangkai. Lopak darah kelihatan. Tangan terkulai. Kami menyedari, jasad yang patah tulang-temulangnya itu Tuan Khalid.

3.

Terdesak. Benar, aku terdesak. Wang simpanan sudah dikeluar seminggu sekali. Ia menyusut.

Aku tidak boleh mendapatkan kerja di dalam bidang pembinaan ini lagi. Cara kerja syarikat lama telah menyekat potensi. Melihat keperluan pekerjaan yang ditawarkan sudah cukup membuatkan aku gelisah. Perisian-perisian yang harus diketahui sesuatu yang janggal dan tidaklah aku punya wang untuk mempelajarinya. Bahasa ketiga yakni bahasa Mandarin juga tidak dikuasai.

Sudah hampir dua bulan aku tidak bekerja. Namun, aku tidaklah menyerah kalah begitu sahaja. Aku terus melakukan kerja-kerja sambilan demi menampung belanja harian. Aku jadi ejen pembekal barangan. Mengepos bungkusan pada sela waktu tertentu mengikut tempahan.

Malangnya, tempahan juga berkurangan. Kuasa beli pelanggan sebelum ini mengecut. Hal itu yang buatkan aku makin tertekan.

Aku harus cepat bertindak menukar modus operandi pekerjaan jika tidak mahu mati kelaparan.

Dompet dikeluar. Ada beberapa keping wang ringgit. Cukuplah jika hendak makan minum selama seminggu sebelum pergi ke bank untuk mengeluarkan lagi wang simpanan. Aku tidak boleh selama-lamanya begini. Kadar wang masuk berbanding dengan wang keluar sangat ketara bezanya.

Aku kembali memeriksa e-mel. Tiada e-mel balas daripada syarikat-syarikat yang aku hantar permohonan kerja. Hanya e-mel daripada agensi pencarian kerja sahaja yang berderet-deret.

Aku tidak tahu berbahasa Mandarin! Bentakku sendiri. Syarikat pembinaan tempatku bekerja telah diserbu dan setiap seorang eksekutif syarikat dan pemegang saham telah ditahan demi membantu siasatan rasuah bernilai jutaan ringgit.

Kebuntuan, aku keluar dari rumah demi mahu menenangkan gejolak rasa. Aku duduk sahaja di bangku taman permainan yang lengang. Jam menunjukkan pukul 10:32 pagi.

Ketika ini, kanak-kanak dan remaja pastinya berada di sekolah. Yang dewasa pula sudah masuk bekerja.

Manakala aku di sini, menganggur, tiada hala tuju.

Aku biarkan sahaja cahaya mentari membakar tubuhku. Peluh mula membasahi tetapi aku tidak hiraukan. Mata dipejam lalu aku cuba untuk tidur dalam keadaan itu. Perut yang lapar sengaja tidak diisi. Berkeriut macam bunyi bangku kayu yang aku duduki. Mungkin aku patut jadi seperti bangku kayu, pegun di satu tempat, mereput dan luluh dimakan anai-anai.

Kelelahan memikirkan nasib, aku merebahkan tubuhku di atas bangku lalu baring mengiring.

Aku teringat akan surat-surat yang aku patut beri kepada rakan-rakan sepejabat di Gambang.

Ia tidak pernah sampai di tangan mereka. Aku tidak sanggup menghulurkan surat-surat itu.

Mujurlah pihak pentadbiran telah menghantar e-mel penamatan perkhidmatan.

Entah apalah nasib staf-staf syarikat itu. Maryam khususnya. Tapi dia sudah bersuami.

Syarikat tempat suaminya bekerja tidak begitu bergantung pada projek kerajaan terdahulu untuk terus hidup, jadi tidaklah syarikat itu jatuh teruk akibat perubahan tampuk pemerintahan. Dengar ceritanya, mereka sudah berpindah ke rumah yang lebih kecil.

Biarlah mereka. Aku harus cari jalan untuk mengubah hidupku. Kepanasan, aku bangkit, lalu balik semula ke rumah. Tapi aku teringat sekali lagi akan surat-surat tak kesampaian di dalam kereta. Aku bergerak ke parkir, mengeluarkan surat-surat yang tersorok di dalam laci ruang penyimpanan di hadapan kereta.

Aku keluarkan surat-surat yang tidak sampai pada tuannya itu. Lalu disimpan di dalam kocek. Aku keluarkan telefon bimbit sesudah menghidupkan enjin kereta. Paparan demi paparan ditatal. Banyak berita mengenai individu yang mati keseorangan baru-baru ini. Aku percaya apa yang singgah ketika paparan ditatal itu bergantung pada kecenderungan seseorang itu. Berita-berita berbaur sepi dan kematian itu serasanya begitu dekat.

Tanpa mahu memikirkannya dengan lebih lanjut, aku meneruskan perjalanan. Masih tidak tahu apa yang akan aku lakukan dengan surat-surat itu. Dan situasi ini mengingatkan aku dengan detik-detik aku dihantar ke Gambang demi menghantar surat-surat itu.

Ya, hakikatnya, aku tidak pergi ke pejabat di Gambang itu. Hatiku begitu berat untuk menyampaikan surat-surat itu pada orang yang ditujukan. Tanpa hala tuju yang jelas, aku memandu. Biarkan naluri memacu gerak kenderaan.

Sedar tak sedar, aku sudah melepasi tol Gombak. Barangkali aku harus menyudahkan misi menghantar surat-surat itu. Biarpun tiada sesiapa lagi di hujung sana untuk menerimanya.