“ Tetapi berlainan pulak dengan perjalanan hidup yang ingin saya ceritakan minggu ini. Saya langsung tiada masalah dengan anak-anak tiri, tetapi emak mereka pula yang menimbulkan pelbagai reaksi yang menyusahkan hidup saya setelah saya berkahwin dengan bekas suaminya.’’ Itu cerita Hanimaryam ketika menghubungi penulis.

“Perjalanan hidup saya ini mungkin lain daripada yang biasa didengar dan baca iaitu tentang hidup kami suami isteri yang sentiasa diganggu oleh bekas isteri (janda) suami saya. Sebenarnya mereka sudah bercerai lebih lapan tahun lalu tetapi sejak setahun lalu, mereka kembali mesra, macam pasangan kekasih.

“Memang saya tak boleh tuduh dan mengata, sebab saya tak nampak, tetapi jiran dan saudara mara yang mengenali mereka menceritakan kisah hubungan suami dan bekas isterinya kepada saya. Awalnya mati balik hidup saya tak percaya dengan berita yang saya dengar, sebab suami saya Khaizan memang baran dengan perangai bekas isterinya. Sebab itu mereka bercerai dua kali. Kali pertama cerai talak dua. Perceraian kedua dengan talak satu. Makna mereka tak boleh rujuk semula.

“Oleh kerana perjalanan perkahwinan saya ini tak tentu hujung pangkal, lebih baik saya cerita dari awal supaya pembaca sendiri boleh merasai betapa susahnya hidup diganggu janda suami.

“Lapan tahun lalu, Khaizan bercerai. Oleh kerana dia sibuk, maka dia serahkan rumah untuk didiami oleh bekas isterinya sebab si isteri berjanji hendak jaga anak-anaknya. Perjanjian dipersetujui dan Khaizan keluar duduk menyewa rumah.

“ Tetapi tak sampai setahun bekas isteri Khaizan mengeluh susah dan dia ugut hendak serahkan tiga orang anaknya itu kepada Khaizan. Antara sebabnya anak-anaknya suka ponteng sekolah. Dia malu kalau selalu pergi jumpa guru di sekolah.

“Oleh kerana Khaizan menyewa bilik, dia minta jandanya kosongkan rumah kerana dia hendak balik ke rumah tersebut demi anak-anaknya. Lagi pun antara rumah dan sekolah tak jauh. Tetapi jandanya enggan keluar. Maka berlakulah perselisihan faham.

“Setelah beberapa bulan bertekak dan bergaduh, akhirnya bekas isteri mengaku sanggup menjaga anak-anak kerana dia tak ada kerja dan tak ada duit untuk sewa rumah.

“Dua tahun kemudian sekali lagi bekas isteri ugut hendak serahkan anak-anak kepada Khaizan. Kerana terdesak tak ada jalan lain Khaizan terpaksa jaga anak-anak sendiri dengan bantuan pembantu Indonesia. Bekas isterinya tinggalkan rumah kerana hendak berkahwin lain.

“Agaknya mungkin terasa susah, akhirnya Khaizan berkahwin kali kedua dengan seorang gadis andartu yang sudah berusia 35 tahun. Walaupun pada awalnya dia setuju jaga anak-anak Khaizan, tetapi lama-kelamaan dia menolak. Lepas dua tahun setengah berkahwin, mereka bercerai.

“Dua tahun kamudian Khaizan berkahwin dengan saya. Ibu tunggal dengan seorang anak yang masih sekolah rendah.

“Walaupun asalnya saya juga sukar terima Khaizan dan anak-anaknya, tetapi entah mengapa saya rasa kasihan dengan anak-anak Khaizan. Sebab dari raut wajah mereka, langsung tak menunjukkan mereka melawan, sombong atau bangga diri apa lagi bencikan ibu tiri .

“Setelah beberapa kali bertemu, akhirnya saya ambil keputusan berkahwin dengan Khaizan. Saya tidak duduk di rumah lamanya, sebaliknya dia sewa rumah lain lebih dekat dengan sekolah anaknya. Ketika itu dua anaknya sudah sekolah menengah. Rumah lamanya Khaizan sewakan. Sebab katanya satu hari nanti rumah itu akan diserahkan kepada anak-anaknya juga,

“Setahun berlalu dan saya tiada masalah langsung dengan anak-anak tiri, malah mereka membantu jika saya ke dapur. Pinggan mangkuk pun ada yang sukarela mencucinya setiap kali lepas makan. Daripada pengamatan saya anak-anak Khaizan bukan ponteng sekolah atau malas sekolah, sebaliknya mereka rajin ke sekolah walaupun pencapaiannya akademiknya tidak memberangsangtkan. Sepanjang setahun saya berkahwin, tak pernah bekas isteri Khaizan mencari atau menghubungi anak-anaknya.

“Tetapi hendak jadikan cerita satu hari saya dengar Khaizan berbual dalam telefon dan daripada cakapnya ada menyebut soal anak-anak, saya syak ini mesti janda Khaizan. Kata Khaizan bekas isterinya minta duit, kerana rumah mereka disewakan, jadi dia hendak duit sewa.

“Awalnya memang Khaizan tak layan tetapi apabila sering dia telefon dan apabila anak bongsu Khaizan beritahu emaknya datang ke sekolah dan mengadu susah akhirnya Khaizan terpaksa kendur dan dia sendiri terpaksa beri RM200 kepada bekas isterinya sebab bekas isterinya tiada akaun bank.

“Sejak itu setiap bulan Khaizan bertemu bekas isterinya beri duit. Lama kelamaan bekas isterinya kembali duduk di rumah lama mereka bila penyewa dikeluarkan. Alasannya dia terpaksa bekerja, tak ada duit nak bayar sewa rumah dan RM200 tak cukup nak buat belanja.

“Entah mengapa sejak hubungan mereka kembali erat, perasaan hairan saya bertukar jadi cemburu. Puncanya janda Khaizan sering telefon ke rumah dan marahkan saya konon tidak beri makan yang sepatutnya kepada anak-anaknya. Katanya, anak-anaknya yang bercerita kepada dia. Tetapi setahu saya budak-budak itu tak suka berbual dengan emaknya di telefon. Malah mereka seperti tak suka kalau emak mereka hendak bercakap dengan mereka kecuali yang bongsu.

“Selain itu saya dengar cerita daripada saudara Khaizan sendiri, mereka pernah nampak Khaizan dengan jandanya berbual mesra dan sering ke supermarket beli barang makan.

“Lebih menghairankan perangai Khaizan juga banyak berubah. Dia sudah mula tak senang duduk di rumah sebaliknya ada sahaja kawan yang cari dia mengajak minum-minum di gerai. Anak-anak Khaizan juga hairan dengan perubahan ayahnya kecuali anak bongsu mereka yang kelihatan lebih gembira daripada biasa. Dia sering menyebut hendak pindah duduk dengan emaknya di rumah lama mereka.

“Tetapi dua orang kakaknya membantah, mereka lebih suka duduk dengan saya. Bila saya selidik dan bertanya, barulah saya tahu sebenarnya bukan mereka malas atau ponteng sekolah masa bersekolah rendah dulu ketika tinggal bersama emaknya tetapi mereka tidak dikejutkan untuk ke sekolah, malah emaknya sendiri selalu bangun lewat, sebab selalu keluar malam tinggalkan mereka tiga beradik dalam rumah.

“Mereka kena marah dengan guru kerana tak datang sekolah, biasanya alasan mereka berikan bangun lewat, ditinggal van sekolah dan sebagainya.

“Perubahan sikap dan perangai Khaizan membuat saya sering nasihatkan dia tak elok mengulang janda. Bukan sahaja tak elok pada pandangan jiran tetapi pada segi hukum agama, sebab mereka sudah bercerai talak tiga. Tetapi saya pulak kena marah konon memfitnah. Tetapi dia tak boleh nafikan naluri isteri dapat merasakan suaminya mula mencintai jandanya.

“Lama kelamaan kesabaran saya terhakis, saya buat keputusan, jika Khaizan ingin kembali hidup bersama jandanya, saya sedia mengundur diri. Dua anak Khaizan memberontak kecuali si bongsu yang sering dihasut emaknya. Mereka mendakwa tidak suka duduk dengan emaknya sebaliknya akan ikut duduk dengan saya. Bayangkan anak tiri boleh bercakap demikian. Akibatnya Khaizan terpaksa kendur.

“Kini saya buat keputusan, kalau nak bantu jandanya salurkan melalui bank. Buka akaun. Dan kalau anak bongsunya ingin duduk dengan emaknya jangan disekat. Tetapi masuk bulan keempat si bongsu kembali duduk dengan saya. Tanpa sebab. Saya bersyukur namun jika sekali lagi Khaizan mengulang jandanya, saya akan tinggalkan dia seperti jandanya tinggalkan dia dahulu. Kini, hidup kami terasa aman.” ujarnya.

Itu cerita Hanimaryam panjang lebar tentang kisah suaminya itu.